Sarawak perlu lebih banyak pembiayaan persekutuan

Sarawak perlu lebih banyak pembiayaan persekutuan

KUCHING, 7 Dis – Sarawak masih memerlukan lebih banyak peruntukan daripada kerajaan persekutuan bagi projek-projek pembangunan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) untuk membolehkannya mencapai tahap pembangunan sepertimana di Semenanjung.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata peruntukan diberikan kepada negeri ini di bawah Bajet Negara 2016 masih tidak mencukupi.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan cadangan beliau mengenai bajet negeri bagi 2016 pada sesi ke-17 persidangan Dewan Undangan Negeri yang bermula hari ini.

“Adalah kritikal untuk kerajaan persekutuan memberikan lebih banyak pembiayaan kepada negeri dalam Rancangan Malaysia Ke-11 untuk membiayai projek-projek infrastruktur yang amat diperlukan seperti jalan raya, jambatan, dermaga dan jeti, perparitan, utiliti dan kemudahan asas luar bandar.

“Kami juga mahu lebih banyak kemudahan pendidikan, perkhidmatan perubatan lebih baik serta bantuan untuk petani, penternak dan nelayan di kawasan luar bandar,” katanya.

Adenan berkata beliau berterima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana memperuntukkan RM142 juta untuk pembinaan Taman Perindustrian Samalaju di Bintulu di bawah Bajet Negara 2016.

Selain itu, Sarawak juga akan menerima RM42 juta bagi pembinaan Lapangan Terbang Mukah dan RM30 juta bagi kerja mengukur perimeter tanah adat atau NCR.

Katanya negeri juga akan menerima RM70 juta bagi cadangan skim subsidi padi bukit, RM260 juta bagi program harga seragam dan RM70 juta untuk pinjaman bebas faedah bagi rumah panjang.

Ketua Menteri berkata beliau akan memohon RM500 juta lagi daripada dana negeri untuk meneruskan dan mempercepatkan pelaksanaan RTP.

“Pada persidangan yang lepas, saya telah memohon bagi RMM500 juta tetapi di bantah oleh pembangkang.

“Bagaimanapun, amaun yang dipohon itu telah diluluskan dan setakat ini, 1,818 program dan projek di bawah RTP sedang dilaksanakan,” katanya. – Bernama