Sarawak perlu menjadi rakan kongsi penting – Adenan

Sarawak perlu menjadi rakan kongsi penting – Adenan

KUCHING, 13 Julai – Sarawak perlu menjadi rakan kongsi penting dalam kerjasama penyelidikan dan bukan hanya kekal sebagai pembekal bahan mentah untuk manfaat pihak lain, kata Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Beliau berkata negeri itu perlu menjalankan seberapa banyak kerja kritikal daripada penemuan yang dibuat melalui kajian produk semula jadi di agensi penyelidikannya.

“Kita perlu menambah nilai kepada kekayaan biodiversiti yang kita ada, dengan memuliharanya, meningkatkan kapasiti penyelidikan kita dan mengumpul seberapa banyak data dengan hasrat untuk menghasilkan ciptaan dan inovasi,” katanya pada majlis pelancaran Bangunan Penyelidikan Biodiversiti Ber-sepadu di Pusat Kepelbagaian Biologi Sarawak (SBC) di sini hari ini.

Beliau berkata selama ini, minat terhadap produk semula jadi semakin meningkat berikutan manfaatnya yang banyak kerana ia dihasilkan daripada evolusi semula jadi.

“Produk semula jadi penting dalam penyelidikan, kerana majoriti daripada dadah yang ditetapkan diperoleh daripada produk semula jadi, sebagai contoh antibiotik dan unsur anti kanser,” tambahnya.

Pada majlis itu, Adenan turut melancarkan produk SBC ‘Litsara’ iaitu minyak pati yang diekstrak daripada pokok ‘Litsea cubeba’ yang tumbuh di hutan berbukit.

Pokok itu telah digunakan daripada generasi ke generasi oleh masyarakat Bidayuh, Kelabit dan Lun Bawang bagi tujuan penyembuhan dan masakan.

SBC membangunkan produk itu di bawah program ‘Traditional Knowledge Documentation’ dan melalui usaha-usaha yang berdedikasi masyarakat terbabit yang telah lama menggunakan tumbuhan itu. – Bernama