Sarawak perlu ramai jurulatih asing bagi persiapan Sukma 2016

Sarawak perlu ramai jurulatih asing bagi persiapan Sukma 2016

KUCHING, 29 Mei (Bernama) – Sebagai strategi merampas semula gelaran juara Sukan Malaysia (Sukma) pada SUKMA XVIII 2016, Sarawak akan menggunakan ramai tenaga jurulatih asing bagi melatih atletnya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak (PSS) Dr Ong Kong Swee berkata ketika ini terdapat 13 jurulatih asing sedang melatih atlet Sarawak dalam beberapa jenis sukan.

“Kami sedang dalam proses mengenal pasti serta mengambil lebih ramai lagi jurulatih asing bagi mempersiapkan atlet-atlet kami menghadapi Sukma tahun depan dan juga kejohanan-kejohanan lain,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Katanya tugas PSS ialah mengenal pasti jurulatih yang berpotensi dan panel tiga orang pemilih bebas akan menilai kelayakan jurulatih-jurulatih terbabit sebelum dikemukakan kepada Kementerian Pembangunan Sosial dan Sukan Sarawak untuk kelulusan.

Beliau bagaimanapun mengatakan bahawa Sarawak tidak ketandusan jurulatih yang berpotensi tetapi menambah jika Sarawak serius mahu cemerlang dalam bidang sukan ia memerlukan pengalaman yang dimiliki jurulatih asing untuk melatih atlet-atletnya.

“Ini cara terbaik pemindahan pengetahuan dan kemahiran daripada jurulatih asing kepada jurulatih tempatan yang akan menimba seberapa banyak ilmu kerana mereka akan ambil alih tugas melatih apabila khidmat jurulatih asing ditamatkan kelak,” kata Dr Ong.

Dr Ong turut mengumumkan majlis pelancaran ‘pasukan impian’ kontinjen Sarawak SUKMA 2016 pada 12 Jun depan oleh Menteri Pembangunan Sosial Negeri Sarawak Tan Sri William Mawan Ikom.

Katanya, majlis yang akan berlangsung di Dewan Suarah Kuching itu bertujuan untuk mewar-warkan kepada umum bahawa kontinjen Sarawak telah bersedia menyahut cabaran menghadapi SUKMA XVIII yang akan berlangsung di Sarawak dari 22 hingga 31 Julai tahun depan.

Menurut Dr Ong, sebanyaki 649 atlet yang dijemput akan mengikuti sesi ujian pemilihan bagi pembentukan kontinjen Sarawak.

Dua puluh empat jenis sukan yang akan dipertandingkan pada Sukma tahun depan dan Sarawak akan memberi tumpuan kepada sukan yang menawarkan banyak pingat seperti berbasikal, taekwondo, menembak, olah raga, akuatik dan karate, katanya.