Sarawak pulihara alam sekitar

Sarawak pulihara alam sekitar

KUCHING, 27 Okt (Bernama) – Sarawak tidak akan bersikap rakus dalam memburu kemajuan ekonomi hingga ke tahap memusnahkan alam sekitar, kata Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

“Kami tidak mahu bersikap rakus terhadap alam sekitar dan tidak akan sekali-kali bersikap melulu dalam memburu matlamat kami untuk menjadi negerimaju menjelang 2020,” katanya ketika merasmikan persidangan kesihatan alam sekitar antarabangsa anjuran Kesatuan Inspektor Kesihatan Sarawak di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibaca oleh timbalannya Tan Sri Alfred Jabu.

Persidangan dua hari itu dihadiri 500 peserta dan pembentang kertas kerja termasuk dari luar Sarawak.

Adenan berkata matlamat utama Sarawak ialah memastikan alam sekitarnya sentiasa bersih dan lestari supaya pembangunan ekonomi benar-benarbermakna.

Tan Sri Alfred Jabu melihat contoh menu makanan sihat semasa melawat ruang pameran kesihatan pada perasmian Persidangan Kesihatan Persekitaran Antarabangsa 2015 hari ini. – Bernama
Tan Sri Alfred Jabu melihat contoh menu makanan sihat semasa melawat ruang pameran kesihatan pada perasmian Persidangan Kesihatan Persekitaran Antarabangsa 2015 hari ini. – Bernama

“Sebab itulah kami mengambil pelbagai langkah seperti berusaha bersungguh-sungguh untuk membanteras pembalakan haram bagi mencegah kerosakan alam sekitar dan kerugian pendapatan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri Sarawak juga membekukan pemberian kebenaran bagi kegiatan perladangan kelapa sawit berskala besar bagi mencegah lebih banyak kawasan hutan semula jadi mengalami kemusnahan, sebaliknya mewujudkan lebih banyak taman negara dan hutan simpan.

Menurutnya Sarawak turut menggalakkan ahli saintis menjalankan penyelidikan di hutannya serta mengalu-alukan kesediaan badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu membantu melindungi dan memulihara alam sekitarnya.

Mengenai pengurusan sisa pepejal, Adenan berkata kerajaan negeri menaik taraf sistem pengurusan sisa pepejal kepada satu sistem bersepadu dan moden bagi bandar raya Kuching sejak 2000 demi manfaat 600,000penduduknya.

“Kami juga melaksanakan sistem pengurusan air buangan berpusat melibatkan kos RM2.5 bilion bagi mengumpul dan merawat air kelabu dan hitam sebelum dilepaskan ke dalam sistem alam sekitar,” katanya.

Adenan turut berharap Sarawak dapat menjalin kerjasama dengan Persekutuan Kesihatan Alam Sekitar Antarabangsa dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk memberi lebih banyak manfaat kepada negeri ini dan penduduknya.