Sarawak raikan berakhirnya kutipan tol esok

Sarawak raikan berakhirnya kutipan tol esok

KUCHING, 30 Dis – Sambutan tahun baharu 2016 yang julung kali diraikan serentak dengan berakhirnya kutipan tol malam esok di plaza tol Jambatan Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dijangka mendapat sambutan hebat daripada masyarakat setempat.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Ose Murang menjangkakan lebih 10,000 pengunjung hadir pada majlis yang akan dirasmikan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem bermula pukul 8.30 malam.

Majlis akan dimeriahkan dengan persembahan artis popular tempatan antaranya Jamal Abdillah, Dayang Nurfaizah dan Amir Ukays.

“Jalan menuju ke jambatan itu akan ditutup bermula pukul 6 petang esok (31 Dis) hingga keesokan harinya. Berikutan penutupan jambatan itu, tempat letak kereta disediakan di Wisma Bapa Malaysia, Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) sehingga ke lokasi utama sambutan,” katanya.

Ose berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat akhir jawatankuasa penganjur di sini, hari ini.

Katanya 10 bas ulang-alik disediakan bagi membawa pengunjung ke Wisma Bapa Malaysia dan Puspakom serta kawasan letak kereta di sekitar lokasi utama majlis itu. – Bernama