Sarawak sasar ekuiti 10 peratus dalam Loji Train 9 MLNG

Sarawak sasar ekuiti 10 peratus dalam Loji Train 9 MLNG

KUCHING, 30 Nov – Sarawak secara aktif sedang berbincang dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bagi memperoleh ekuiti sebanyak 10 peratus Loji Train 9 Gas Asli Cecair Malaysia (MLNG).

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata, Sarawak juga sedang berunding dengan Petronas bagi meningkatkan ekuitinya dalam loji MNLG 2.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri yang bersidang hari ini.

“Pembangunan ini merupakan sebahagian di antara kemajuan yang dicapai oleh kerajaan negeri dalam lima bidang utama rundingan dengan Petronas,” katanya.

Menurut Adenan, satu lagi pencapaian penting melibatkan pemeteraian memorandum persefahaman dengan Petronas untuk menjalankan satu kajian bersama bagi Pelan Induk Petrokimia Sarawak pada 3 April 2016.

“Kami percaya pelan induk ini akan membantu kami membangunkan industri-industri petrokimia kami dengan cara yang strategik bagi kepentingan negeri,” katanya.

Katanya, untuk tujuan tanggungjawab sosial korporat (CSR), Petronas telah komited bagi membelanjakan RM50 juta ke atas 10 projek untuk selama lima tahun dari 2015-2019.

Beliau memberi jaminan bahawa walaupun pasaran minyak berada dalam keadaan tidak menentu, rundingan kerajaan negeri berhubung dengan kenaikan royalti minyak daripada lima kepada 20 peratus dengan kerajaan persekutuan dan Petronas akan tetap diteruskan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA