Sarawak sasar muncul juara Sukma 2016

Sarawak sasar muncul juara Sukma 2016

KUCHING, 14 Julai (Bernama) – Sarawak meletakkan sasaran untuk muncul sebagai juara keseluruhan apabila menjadi tuan rumah Sukma 2016 dari 22 hingga 31 Julai ini. Menteri Pembangunan Sosial negeri Tan Sri William Mawam Ikom, yang juga pengerusi jawatankuasa penganjur sukan itu, berkata Sarawak sudah selesai membuat persiapan dan kini bersedia sepenuhnya menjadi tuan rumah Sukma 2016.

“Kami akan melakukan segala yang perlu dalam membuat persiapan berhubung atlet dan venue,” kata Mawan kepada pemberita selepas menyampaikan geran RM130,000 daripada kementerian beliau kepada lima persatuan di pejabatnya di sini Isnin.

“Pusat akuatik baharu kami di Kuching kini sudah 80 peratus siap dan akan boleh digunakan untuk temasya sukan ini serta untuk latihan pasukan kami. Saya akan turun padang untuk meninjau pelbagai persiapan teknikal.

“Kami sanggup berbelanja untuk mendapatkan khidmat jurulatih asing jika diperlukan. Tapi, setakat ini, kami yakin akan mencapai kejayaan. Malah, ini merupakan misi yang perlu kami jayakan sebagai tuan rumah dan kali terakhir kami menjadi tuan rumah ialah pada 1990 apabila kami muncul sebagai juara keseluruhan untuk julung kalinya,” kata beliau.

Mawan berkata 24 sukan akan dipertandingkan pada Sukma kali ini, termasuk 19 sukan wajib dan lima opsyenal, termasuk, golf, yang julung kali dipertandingkan dalam Sukma di negeri ini.

“Walaupun Perbadanan Sukan Negeri telah mengenal pasti pelbagai atlet, tetapi kami sedia mengambil bakat baharu yang berpotensi,” katanya.

Sementara itu, beliau menasihati persatuan sukan agar tidak terlibat dengan politiking dan perbalahan dalaman yang boleh membawa mudarat, tetapi sebaliknya memberi fokus terhadap pembangunan atlet masing-masing.

“Saya dapati, ada beberapa kumpulan daripada persatuan sukan yang sama, tampil ke hadapan dan mendakwa mereka adalah lebih baik. Bagi kementerian saya, kami hanya mengiktiraf kumpulan yang dibentuk dan dipilih secara sah dan yang diiktiraf.

“Kami tidak boleh bazirkan wang kerajaan. Kami ada beribu-ribu persatuan sukan dan badan bukan kerajaan yang mengharapkan bantuan kewangan setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata sukan perlu dilihat sebagai medium untuk menyatu-padukan rakyat, bukan memecah-belahkan mereka melalui pertelagahan dan pergaduhan secara dalaman.

ARTIKEL YANG SAMA