Sarawak sasar pingat emas SUKMA

Sarawak sasar pingat emas SUKMA

KUCHING, 24 Sept (Bernama) – Tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2016, Sarawak mengidam gelaran juara dalam acara bola sepak pada temasya dwitahunan itu.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Abu Bakar Marzuki berkata selaku pengurus pasukan beliau menetapkan sasaran sekurang-kurangnya beraksi dalam perlawanan akhir.

Sarawak akan menjadi tuan rumah SUKMA tahun depan dan bola sepak antara sukan yang mensasarkan pingat emas.

Katanya, jurulatih dari Bosnia Fuad Grbesic yang juga jurulatih skuad remaja Sarawak sudah dilantik untuk menjadi jurulatih pasukan bola sepak SUKMA Sarawak 2016.

Abu Bakar percaya Fuad, bekas pemain kebangsaan Bosnia dan menjadi jurulatih sementara skuad Liga Super Sarawak selepas pemergian jurulatih dari Belanda, Robert Alberts, mampu mencari pemain-pemain berkaliber untuk membentuk sebuah pasukan yang mantap.

“Jurulatih Fuad dengan bantuan beberapa jurulatih tempatan sedang mencari pemain-pemain berkaliber dari seluruh pelosok negeri untuk diserapkan ke dalam pasukan,” kata Abu Bakar.

Sarawak pernah menjuarai acara bola sepak ketika menjadi tuan rumah Sukma 1990 yang turut menyaksikan Sarawak muncul juara temasya sukan berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA