Sarawak sumbang RM 1 juta

Sarawak sumbang RM 1 juta

KUCHING, 9 Jun – Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu berharap sumbangan sebanyak RM1 juta daripada kerajaan Sarawak dapat meringankan kesulitan yang dihadapi mangsa kejadian gempa bumi di Sabah.

Semalam kerajaan Sarawak mengumumkan sumbangan sebanyak RM1 juta kepada Tabung Bencana Gempa Bumi Gunung Kinabalu ketika Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, yang juga Menteri Kemudahan Awam dan Menteri Pembangunan Perindustrian Sarawak, bertemu dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman di Kota Kinabalu.

Sementara itu, Jabu yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Keselamatan Negara peringkat negeri Sarawak berkata kesemua 33 keluarga yang menjadi mangsa kebakaran dua rumah panjang, iaitu Rumah Kayan Tarang, Nanga Telik, Krian dekat Saratok dan Rumah Adin Jawa di Sungai Engkalat, Sibu baru-baru ini akan menerima bantuan kewangan daripada beliau sendiri dan para anggota Dewan Undangan Negeri Sarawak.