Sarawak tawar jadi hos gelanggang akuatik Sukan SEA

Sarawak tawar jadi hos gelanggang akuatik Sukan SEA

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) – Kerajaan Sarawak mahukan pusat akuatik baharunya menjadi antara gelanggang Sukan SEA 2017, kata Menteri Muda Sukan dan Menteri Perhubungan Sarawak Datuk Lee Khim Shin.

Beliau berkata hasrat Sarawak menjadi tuan rumah salah satu acara temasya dwi-tahunan itu sudah disampaikan kepada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

“Secara prinsipnya kami sudah berbincang dengan menteri (Khairy). Selaku tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) tahun depan, kerajaan negeri telah membina pusat akuatik bertaraf antarabangsa di Kuching.

“Pusat akuatik yang dijangka siap hujung tahun ini adalah antara pusat termoden di Malaysia. Kita harap ia boleh digunakan untuk Sukan SEA 2017,” katanya kepada pemberita.

Lee berkata demikian pada majlis penyerahan bendera SUKMA oleh Khairy kepadanya yang mewakili kerajaan Sarawak, di sini hari ini.

Katanya Sarawak turut bersedia menerima atlet renang dan terjun negara menjalani latihan di pusat akuatik berkenaan.

Lee berkata Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) dan Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) telah meluluskan piawaian pembinaan pusat akuatik tersebut yang terletak di Petra Jaya, Kuching.

Katanya kompleks akuatik yang berharga RM163 juta itu dijadual siap sepenuhnya penghujung tahun ini.

Dalam pada itu, Lee yakin semua gelanggang SUKMA Sarawak 2016 di Kuching, Miri dan Sibu akan siap sepenuhnya selewat-lewatnya tiga bulan sebelum bermulanya temasya sukan berkenaan.

Sebanyak 24 jenis sukan akan dipertandingkan pada SUKMA Sarawak yang akan bermula pada 23 hingga 31 Julai, tahun depan.

ARTIKEL YANG SAMA