Sarawak terima sumbangan RM450 juta

Sarawak terima sumbangan RM450 juta

KUCHING, 1 Julai (Bernama) – Sarawak akan menerima sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah RM450 juta daripada Petronas untuk tahun 2015 hingga 2019.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata ini menunjukkan bahawa Petronas sentiasa menjadi warga korporat Malaysia yang bertanggungjawab dan dermawan.

Beliau berkata demikian di majlis yang menyaksikan pengerusi Petronas Tan Sri Sidek Hassan mengumumkan sumbangan RM90 juta kepada negeri ini bagi 2015 di sini, hari ini.

“Petronas sentiasa menjadi penyumbang tetap kepada ekonomi negara dan juga telah menyelamatkan negara semasa krisis ekonomi.

“Ia juga satu daripada syarikat utama multinasional dunia serta pembayar cukai terbesar negara,” katanya.

Namun beliau berkata Sarawak akan meneruskan perundingan dengan Petronas supaya royalti minyak dipertingkatkan kepada kira-kira 20 peratus.

“Ia pada asasnya ialah antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan kerana jika ada kebenaran, ia datangnya dari kerajaan Persekutuan,” katanya.

Adenan berkata beliau telah berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung perkara ini dan berharap beliau akan memberi pertimbangan yang memihak kepada negeri ini.

Katanya selain projek CSR dan pembayaran dividen yang besar kepada negeri setiap tahun, Petronas juga baru-baru ini menberikan kontrak bernilai RM2.1 bilion kepada Sarawak.

“Kami sedang memantau dengan teliti perkembangan ini melalui jawatankuasa khas untuk memastikan kontrak benar-benar diberikan.

Dalam ucapannya, Sidek berkata sumbangan RM90 juta itu digunakan sebagai pemula kepada inisiatif lima tahun CSR di negeri ini dalam bidang pendidikan, pembangunan masyarakat dan pemuliharaan alam sekitar.

Beliau berkata inisiatif itu termasuk pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang baharu di Bintulu dan dua asrama untuk pelajar luar bandar selain lima sekolah angkat di Lundu di bawah Program Sekolah Amanah dengan kerjasama Yayasan Amir.

Program lain termasuklah pembangunan skil teknikal melalui Bantuan Latihan dan Tajaan Institusi Vokasional (VISTA), Program BUDI-Petronas untuk pelajar tidak bernasib baik di MRSM dan menambah pengambilan untuk Skim Peningkatan Kemahiran Graduan.

Sidek berkata Petronas juga akan menaikkan tajaan pendidikan di bawah Program Sentuhan Ilmu Petronas (PSIP) dan Program Biasiswa Pendidikan Petronas (PESP) untuk pelajar tempatan.

“Tahun ini, Petronas menganugerahkan biasiswa kepada 37 pelajar untuk melanjutkan pengajian di beberapa universiti utama dalam dan luar negara.

“Petronas juga melaksanakan 11 projek CSR tambahan dengan agensi-agensi kerajaan negeri dalam pembangunan masyarakat dan pemuliharaan alam sekitar.