Sarawak tidak akan berpisah dari Malaysia

Sarawak tidak akan berpisah dari Malaysia

MIRI, 21 Okt – Sarawak menolak persepsi negatif kononnya negeri itu menuntut lebih kuasa autonomi daripada kerajaan persekutuan sebagai petanda bahawa negeri itu mahu keluar dari Malaysia.

Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem berkata Sarawak tetap setia bersama Malaysia dan tidak akan melayan tuntutan pemisahan oleh mana-mana pihak.

“Salah satu sebab kami mahu lebih kuasa autonomi kerana mahu mengurus pentadbiran negeri dengan lebih cekap dalam bidang-bidang tertentu,” katanya semasa merasmikan projek Jambatan Sungai Sibuti bernilai RM26 juta, di sini, hari ini.

Adenan berkata kerajaan negeri akan memohon peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta daripada kerajaan pusat bagi menaik taraf kemudahan infrastruktur untuk lebih 5,000 buah kampung di seluruh negeri itu.

Menurutnya kerja-kerja menaik taraf kemudahan tersebut termasuk pembinaan jalan raya, bekalan elektrik dan bekalan air bersih. – Bernama