Sarawak tidak biarkan rakyatnya terpinggir

Sarawak tidak biarkan rakyatnya terpinggir

SIBU, 24 Dis (Bernama) – Sarawak tidak akan membiarkan rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, terpinggir atau tersingkir daripada menikmati kekayaan khazanah alam yang dimiliki negeri ini.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata adalah menjadi tanggungjawab utama kerajaan negeri untuk memastikan semua lapisan rakyat dapat mengecapi nikmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata’ala itu kepada Sarawak.

Katanya, negeri itu dikurniakan kekayaan khazanah alam dan hasil bumi yang melimpah termasuk balak, minyak dan hasil pertanian yang menjadi sumber ekonominya.

“Tanggungjawab utama kerajaan negeri ialah untuk melaksanakan amanah suci ini secara adil, saksama dan bijaksana. Kerajaan tidak mahu mana-mana rakyat terpinggir atau tersingkir daripada menikmati khazanah alam di Bumi Kenyalang,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Sarawak di Dataran Sibu di sini.

Adenan berkata, ajaran yang dibawa Nabi Muhammad menekankan pentingnya mengukuhkan perpaduan dan memantapkan jalinan ukhuwah sesama manusia.