Sarawak tumpu pelancong Hong Kong, Singapura

Sarawak tumpu pelancong Hong Kong, Singapura

BAU, 4 April (Bernama) – Kementerian Pelancongan Sarawak memfokuskan pasaran Hong Kong dan Singapura agar lebih ramai pelancong dari kedua-dua negara itu melawat Sarawak tahun ini.

Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Sarawak Datuk Ik Pahon Joyik berkata negeri ini mempunyai pelbagai tempat tarikan pelancongan terutamanya keindahan alam semula jadi serta adat budaya pelbagai etnik.

“Di daerah Bau sahaja terdapat banyak tempat yang boleh dilawati seperti Gua Fairy, Gua Angin, Taman Warisan Bung Jagoi, tanah tinggi Bung Singai dan Taman Warisan Bung Bratak yang sedang dalam pembinaan.

“Selain itu, bekas lombong emas Tasik Biru, pekan warisan Siniawan, pekan Bau dan pekan hujung minggu Serikin juga antara tempat yang semakin popular dalam kalangan pelancong tempatan dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena ulang tahun pertama Koperasi Fairy Cave yang diadakan di luar kawasan pintu masuk Gua Fairy di Jalan Krokong, kira-kira 30 kilometer dari Kuching Ahad malam.

Ik Pahon berkata tarikan pelancongan di daerah Bau akan dimasukkan ke dalam program promosi di luar negara bagi menarik lebih ramai pelancong asing datang ke daerah itu.

Sementara itu, Pengerusi Koperasi Fairy Cave Penghulu Dihoi Nyawen berkata Pesta Fairy Cave yang menawarkan pelbagai aktiviti termasuk pasar jualan makanan dan permainan tradisional kaum Bidayuh akan diadakan pada 26 hingga 28 Mei ini.