Sarawak tunggu keputusan kemudahan VOA

Sarawak tunggu keputusan kemudahan VOA

KUCHING, 21 Sept – Sarawak menjangka permohonannnya agar kemudahan pengeluaran visa sewaktu ketibaan (VOA) kepada pelancong dari China yang tiba dari Lapangan Terbang Miri dan Kompleks CIQ di Sungai Tujuh, Miri, akan mendapat maklum balas daripada Kementerian Dalam Negeri dalam tempoh satu atau dua bulan lagi.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg berkata beliau menghantar surat mengenai perkara itu kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, minggu lepas.

Beliau berkata kemudahan pengeluaran visa di pintu masuk ke Sarawak itu penting kerana ia akan dapat memudahkan pelancong dari China, terutama yang melawat Brunei, untuk meneruskan lawatan mereka ke seluruh Sarawak, kerana Miri boleh diakses menerusi perjalanan darat dalam tempoh tidak sampai dua jam dari Bandar Seri Begawan. – Bernama