Saraya al-Ashtar terbabit pengganasan

Saraya al-Ashtar terbabit pengganasan

DUBAI, 8 Jun (Reuters) – Bahrain berkata semalam ia berjaya membongkar pembabitan kumpulan Syiah anti-kerajaan yang diharamkan dan dikenal pasti sebagai dalang di sebalik beberapa siri serangan serta memberkas beberapa anggotanya.

Agensi berita negara itu berkata, penyiasatan mendedahkan bahawa Saraya al-Ashtar dibentuk pada 2012 oleh dua lelaki dengan tujuan mencetuskan keadaan tidak stabil di negara beraja itu melalui serangan ke atas pasukan keselamatan.

Ia berkata dua lelaki terbabit kini berada di Iran.

Bahrain yang diperintah Sunni menuduh Iran membangkitkan kekacauan di kalangan warga Bahrain yang kebanyakannya adalah pembangkang Syiah. Bagaimanapun Iran menafikan dakwaan tersebut.

Pada tahun lepas, Bahrain mengisytiharkan Saraya al-Ashtar dan dua kumpulan anti-kerajaan sebagai pertubuhan pengganas, pada hari selepas letupan bom mengorbankan dua anggota polis tempatan dan seorang pegawai dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Sebuah kumpulan menggelar dirinya Saraya al-Ashtar mendakwa bertanggungjawab melakukan serangan itu dalam mesej melalui media sosial, walaupun ia tidak dapat disahkan ketulenannya.