SAREX, kawal perairan dari pencerobohan nelayan asing

SAREX, kawal perairan dari pencerobohan nelayan asing

KUCHING, 10 Okt – Latihan Mencari dan Menyelamat (SAREX) 2016 akan menjadi medan persediaan menghadapi sebarang insiden di lautan dan juga pencerobohan khususnya dari kapal nelayan asing, kata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Pengarah APMM Wilayah Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit berkata musim tengkujuh pada bulan Oktober dan November sering memberi risiko kepada nelayan malahan kapal-kapal nelayan asing akan menceroboh perairan negara ketika itu.

Beliau berkata latihan tersebut akan meningkatkan kerjasama antara agensi terlibat, menguji dan menyelaras kaedah komunikasi dalam situasi sebenarnya.

“Semasa SAREX, kita akan mengenal pasti talian komunikasi dan macam mana kita bertindak membawa dan menyelamatkan mangsa.

“Harap latihan ini akan beri kita kecekapan dalam usaha kita memberi perkhidmatan kepada masyarakat maritim,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan SAREX 2016 di Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) di sini hari ini.

Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit (kiri) menunjukkan kawasan yang akan terlibat dalam Latihan Mencari dan Menyelamat (SAREX) 2016 di Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) kelmarin. – Bernama
Laksamana Pertama Maritim Ismaili Bujang Pit (kiri) menunjukkan kawasan yang akan terlibat dalam Latihan Mencari dan Menyelamat (SAREX) 2016 di Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) kelmarin. – Bernama

SAREX 2016 yang bermula hari ini sehingga Rabu ini akan melibatkan 14 agensi di kawasan Tanjung Po menghala ke Pulau Lakie di perairan Sarawak.

Mengulas lanjut, Ismaili berkata APMM menetapkan 30 minit sebagai tempoh tindak balas bagi setiap laporan yang diterima.

“APMM perlu mengerakkan aset dalam tempoh 30 minit sebaik menerima laporan. Dan perlu sampai ke lokasi dalam tempoh dua jam. Kalau kita berada jauh (dari lokasi) APMM akan beri notifikasi kepada kapal yang dekat dengan lokasi tersebut,” katanya. – Bernama