SASA rai pelajar cemerlang PSR

SASA rai pelajar cemerlang PSR

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Feb – Seramai 34 pelajar Sekolah Arab Sungai Akar (SASA) yang mencatat keputusan 5A dalam peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) tahun lalu telah diraikan dalam majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah cemerlang ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Mohammad ‘Abdoh bin Dato Seri Setia Haji Abdul Salam.

Turut hadir ialah Pemangku Penolong Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisyam bin Haji Masri serta para jemputan khas dan ibu bapa pelajar.

Pengetua SASA, Pengiran Hajah Radiah binti Pengiran Haji Mohd Tahir, dalam ucapannya menjelaskan, tahun ini seramai 105 orang pelajar terbaik dalam kelas juga menerima hadiah dengan 57 orang daripada peringkat rendah dan 48 orang daripada peringkat menengah.

Haji Mohammad ‘Abdoh ketika menyempurnakan penyampaian hadiah kepada salah seorang pelajar yang mendapat keputusan terbaik dalam peperiksaan PSR.
Haji Mohammad ‘Abdoh ketika menyempurnakan penyampaian hadiah kepada salah seorang pelajar yang mendapat keputusan terbaik dalam peperiksaan PSR.

pg09_160212_b

Pengiran Hajah Radiah ketika berucap pada majlis itu.
Pengiran Hajah Radiah ketika berucap pada majlis itu.
Persembahan Tausyeh turut menyerikan majlis tersebut.
Persembahan Tausyeh turut menyerikan majlis tersebut.
Guru-guru, ibu bapa dan para jemputan yang hadir pada majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Dewan Persidangan Utama, ICC, Berakas, kelmarin.
Guru-guru, ibu bapa dan para jemputan yang hadir pada majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Dewan Persidangan Utama, ICC, Berakas, kelmarin.
Salah seorang pelajar terbaik, Awang Ahmad Danial ketika ditemu bual.
Salah seorang pelajar terbaik, Awang Ahmad Danial ketika ditemu bual.
Awang Muhammad Najib ketika ditemu bual mengenai kejayaan yang diperolehi.
Awang Muhammad Najib ketika ditemu bual mengenai kejayaan yang diperolehi.

“Dengan adanya majlis pagi ini akan dapat memberikan galakan dan motivasi serta pencetus semangat kepada pelajar-pelajar yang lain yang akan menghadapi masa depan yang lebih mencabar dan berdaya saing,” katanya.

Ujar beliau lagi, pelajar-pelajar sekarang merupakan generasi yang akan merealisasikan Wawasan Negara 2035, ke arah itu pelajar-pelajar hendaklah melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan yang luas dari pelbagai ilmu duniawi dan ukhrawi di samping mempunyai kemahiran yang tinggi di dalam pelbagai bidang.

Selain itu, pelajar-pelajar yang akan memimpin generasi akan datang hendaklah mempunyai sahsiah atau akhlak yang terpuji yang dipupuk oleh ilmu pengetahuan yang tinggi.

“Tidak dapat dinafikan kejayaan seorang pelajar itu adalah hasil daripada dedikasi dan komitmen tinggi para guru bagi memastikan kejayaan pelajarnya. Ada di antara guru yang sanggup mengadakan kelas tambahan pada hari Jumaat dan Ahad demi menyelaraskan pembelajaran penuntut sesuai dengan sukatan yang ditetapkan.”

Ini, jelas beliau lagi, menunjukkan peranan guru itu amat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran serta sebagai pemacu kejayaan pelajarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru para ibu bapa agar sentiasa memberi perhatian yang berterusan kepada anak-anak mereka dan memantau aktiviti mereka terutama di luar sekolah agar mereka tidak lalai dengan perkara-perkara yang kurang berfaedah.

Majlis menyaksikan tetamu kehormat menyampaikan hadiah kepada pelajar-pelajar terbaik setiap kelas, pelajar cemerlang PSR dan pelajar terbaik keseluruhan bagi setiap peringkat.

Salah seorang pelajar Tahun 5, Awang Ahmad Danial bin Dr Azme, semasa ditemui pihak Media Permata telah melahirkan perasaan gembira dan bersyukur kepada Allah S.W.T atas kejayaan yang telah beliau raih dalam mendapat hadiah pelajar cemerlang tahun ini.

“Salah satu rahsia untuk menjadi pelajar cemerlang adalah untuk tidak melawan cakap guru-guru sekolah dan sentiasa menunaikan sembahyang lima waktu. Di samping itu juga saya sering kali mengulang kaji pelajaran saya jika ada sesuatu topik baru yang diberikan,” jelasnya.

Manakala itu, Awang Muhammad Najib bin Haji Rudyman, pelajar Tahun 6, menyuarakan perasaan gembira atas kejayaannya mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan PSR dan juga sebagai pelajar terbaik kelas.

Katanya, sifat sering mengambil perhatian sepenuhnya dalam kelas merupakan salah satu cara dalam meraih kejayaan yang diinginkan.

ARTIKEL YANG SAMA