Sasar 20 teratas dalam EoDB

Sasar 20 teratas dalam EoDB

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Julai – Negara Brunei Darussalam terus komited untuk menjana suasana perniagaan dan pelaburan yang kondusif serta menarik bagi pengusaha tempatan dan juga untuk menarik pelabur-pelabur asing untuk melabur di negara ini.

Dari segi kedudukan Ease of Doing Business (EoDB) pada masa ini, ekonomi negara kita berada di tangga ke 101 daripada 189, yang menunjukkan kedudukan yang kurang baik dalam memulakan perniagaan serta dinilai lemah dalam bidang-bidang seperti institusi undang-undang dan kawal selia, kata Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar.

Oleh itu, negara terus berusaha untuk memperbaiki persepsi pelabur-pelabur terhadap negara dengan perlunya untuk memperbaiki suasana perniagaan dan meniadakan bebanan pita merah di mana usaha itu amat kritikal untuk memudahkan perniagaan dan industri supaya dapat berkembang dan meningkatkan pelaburan daripada para pelabur dalam dan luar negara, katanya ketika berucap di Perasmian Bengkel Ease of Doing Business Bank Dunia (World Bank), di Dewan Persidangan, East Wing, Jabatan Perdana Menteri hari ini.

“Kita tahu bahawa kita harus memastikan kredit dapat mengalir tanpa sebarang halangan dan untuk menjana suasana pertumbuhan yang akan membantu membangunkan perusahaan-perusahaan menguntungkan, kukuh dan yang juga kompetitif dalam pasaran global,” ulas beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pandu Ease of Doing Business.

Yang Berhormat Pehin juga berkata adalah difahami bahawa perlunya untuk mengurangkan kos pengawalan kerana kos yang tinggi dalam melaksanakan perniagaan akan membunuh peluang pekerjaan dan akan menjana situasi di mana lebih banyak pekerjaan yang meninggalkan negara serta berpindah ke negara-negara yang lebih kompetitif.

Pada masa yang sama adalah penting untuk mengimbangi usaha mengurangkan pengawalan dengan keperluan untuk melindungi orang ramai, pengguna dan alam sekitar yang mana dalam hubungan itu, penumpuan yang diberikan sejak tahun lepas, adalah untuk meningkatkan fokus, kerjasama di antara agensi-agensi, kesungguhan untuk meningkatkan kepercayaan masyarakat, mengukuhkan sektor swasta, meningkatkan pelaburan serta untuk menjana pekerjaan dan pertumbuhan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) melalui pelbagai pembaharuan sosioekonomi.

Yang Berhormat Pehin menambah, inisiatif EoDB merupakan di antara inisiatif yang diberikan keutamaan oleh pihak kepimpinan atasan bagi memastikan usaha, kesinambungan dan komitmen ke arah pencapaian matlamat itu dilaksanakan oleh semua agensi dan pihak yang berkenaan.

“Kita menyasarkan kedudukan 20 teratas dalam EoDB,” tambahnya lagi, “Dalam hubungan sasaran itu, kita telah mengurangkan cukai korporat kepada 18.5 peratus iaitu di antara yang terendah di rantau ini.”

Usaha lain yang sedang dan telah dilaksanakan, jelasnya lagi, adalah untuk mengurangkan tempoh dan kos bagi memulakan perniagaan dari 101 hari kepada 1 hari dan untuk meniadakan bebanan pita merah yang tidak diperlukan dan juga prosedur pentadbiran yang berlebihan yang telah melambatkan proses berkenaan dahulu.

Beliau berkata bahawa usaha terus dilaksanakan bagi memudahkan, mempercepatkan dan mengurangkan kos bagi mendapatkan permit, kelulusan dan persijilan bagi pembinaan, mendapatkan pemasangan elektrik serta mendapatkan persijilan halal bagi perniagaan restoran dan pembuat makanan.

Usaha juga sedang dan akan terus dilaksanakan bagi mengukuhkan rangka kerja serta institusi kawal selia dan undang-undang negara khususnya dalam bidang-bidang penguatkuasaan kontrak, pelindungan pelabur-pelabur, prosiding ketidakmampuan bayar dan untuk memastikan bahawa maklumat yang sesuai mampu diperoleh oleh PKS dan peminjam serta pada masa yang sama melindungi hak-hak individu serta parti-parti yang berkenaan.

Negara juga terus meningkatkan dan menggandakan penggunaan teknologi bagi meningkatkan keberkesanan merentas agensi-agensi seperti penggunaan perkhidmatan atas talian dalam penggabungan perniagaan, pengurusan tanah, pengurusan kes, penggunaan mahkamah teknologi, permohonan permit dan perniagaan serta pembayaran cukai dan sosial sekuriti.

Yang Berhormat Pehin menekankan lagi, dalam mana-mana reformasi atau pembaharuan yang dilakukan akan menjadi efektif jika ia memberikan pengalaman yang positif dan bermanfaat di mana pembaharuan itu dapat dirasakan oleh komuniti perniagaan dan pihak-pihak yang berkenaan.

Beliau menambah, dalam usaha untuk mendalamkan dan mengembangkan lagi kesan daripada pembaharuan itu, usaha terus dilaksanakan bagi memperbaiki proses ketelusan dan penglibatan pihak-pihak yang berkepentingan.

Bagi memastikan kesan pembaharuan itu dicerminkan dalam laporan Doing Business yang akan datang, negara juga berusaha untuk meningkatkan penglibatan dengan kumpulan penyelidikan Bank Dunia dengan membuat laporan mengenai inisiatif pembaharuan serta menyediakan bahan yang berasaskan fakta mengenai kesannya kepada pihak yang berkepentingan dengan lebih kerap.

Dalam ucapan itu juga, Yang Berhormat Pehin menyeru kepada para reformis dan rakan kongsi sektor swasta bahawa Brunei berada di dalam salah sebuah rantau yang paling pesat membangun iaitu ASEAN dan oleh itu, adalah amat penting bagi negara untuk bergerak seiring atau berada di hadapan pesaing-pesaing yang lain.

Beliau menekankan lagi perlunya bagi semua pihak untuk memastikan bahawa tahap komitmen kepada memperbaiki suasana dan pelaburan negara terus berada di tahap yang tinggi bagi mencapai Wawasan 2035 dan aspirasi untuk mengembalikan keyakinan negara, perniagaan dan para pelabur.

ARTIKEL YANG SAMA