Sasar 5% pasaran nanas dunia

Sasar 5% pasaran nanas dunia

KUCHING, 30 Nov (Bernama) – Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) menyasarkan untuk menguasai lima peratus daripada pasaran nanas dunia dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11), kata ketua pengarahnya Sahdan Salim.

Beliau berkata LPNM meletakkan sasaran untuk memperluaskan tanaman nanas negara seluas 15,000 hektar dengan pengeluaran sebanyak 700,000 metrik tan setahun.

“Sasaran keluasan tanaman itu termasuk 3,500 hektar di Sarawak dengan pengeluaran 150,000 metrik tan setahun,” katanya pada Seminar Industri Nanas 2015 yang dirasmikan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu Numpang di sini, hari ini.

Sahdan berkata pada masa ini keluasan tanaman nanas negara adalah 10,319 hektar dengan pengeluaran sebanyak 412,720 tan metrik setahun dan nilai pengeluaran RM577.4 juta manakala harga borong RM818.4 juta.

Katanya nilai eksport nanas negara pada tahun lalu adalah RM114.35 juta dengan nanas segar sebanyak

RM24.354 juta, nanas kaleng (pengetinan) RM37.1 juta, jus nanas RM5 juta manakala slip/ornamental RM47.73 juta.

Sementara itu, Sahdan berkata aktiviti penanaman nanas di negeri Sarawak akan dipergiatkan dalam tempoh RMK-11, yang akan bermula tahun depan.

Beliau berharap peruntukan sebanyak RM25 juta daripada kerajaan pusat untuk pembangunan industri nanas di negeri Sarawak dalam RMK-11 akan membantu memperkasakan industri itu di Sarawak sambil beliau menyeru golongan peladang di Sarawak menceburi aktiviti industri nanas yang menjanjikan pendapatan yang lumayan.

“Kita memerlukan lebih ramai penanam nanas di Sarawak bagi meningkatkan pengeluaran, sekali gus dapat meningkatkan eksport ke luar negara,” katanya.

Menurut Sahdan, Malaysia adalah negara ke-18 pengeluar terbesar nanas dunia.