Sasar 700 sertai perlumbaan berbasikal Kota Belud

Sasar 700 sertai perlumbaan berbasikal Kota Belud

KOTA BELUD, 3 Nov (Bernama) – Penganjur Perlumbaan Berbasikal Jamboree Terbuka Kota Belud 2015 menyasarkan sekurang-kurangnya 700 penyertaan bagi acara itu pada 22 Nov ini.

Pengerusi penganjur yang juga Presiden Kelab Berbasikal Kota Belud (KBCC), Mohd Mustazar Bundah berkata selain penyertaan pelumba Sabah, pihaknya turut mempelawa peserta dari Sarawak, Semenanjung, Brunei Darussalam dan kelab luar negara menyertai acara yang diadakan untuk kali kedua itu.

“Perlumbaan ini bertujuan menggalakkan masyarakat setempat terutama golongan belia melibatkan diri dengan budaya sihat terutamanya dalam sukan berbasikal,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd Mustazar, perlumbaan lebuh raya sejauh 40 kilometer itu akan bermula dari Yayasan Kebajikan Suria Tuaran dan berakhir di Pekan Kota Belud yang membabitkan beberapa cabaran termasuk mendaki kawasan berbukit.

Sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu lelaki terbuka, lelaki veteran, wanita terbuka dan kanak-kanak 12 tahun.

Juara bagi kategori lelaki terbuka, lelaki veteran dan wanita terbuka akan menerima wang tunai RM1,000 dan trofi manakala juara kategori kanak-kanak 12 tahun menerima RM500 dan trofi.