Sasar buka pusat dialisis setiap negeri

Sasar buka pusat dialisis setiap negeri

KUCHING, 28 Dis – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyasarkan untuk menubuhkan rangkaian pusat dialisis koperasi di seluruh negara, kata presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Kata beliau, pihaknya merancang sekurang-kurang sebuah pusat dialisis di bawah koperasi dapat dibuka di setiap negeri.

Menurut Abdul Fattah, ketika ini Angkasa telah bekerjasama dengan tiga koperasi lain bagi membuka pusat dialisis di Pahang, Kelantan dan terbaharu di Sarawak, manakala Kedah dan Johor dijangka beroperasi dalam masa terdekat.

“Kita harapkan lebih banyak koperasi di Sarawak dan seluruh negara dapat menyertai kegiatan perniagaan berimpak tinggi seperti pusat dialisis ini untuk memberikan perkhidmatan khususnya kepada masyarakat di luar bandar,” katanya.

Justeru, kata beliau pihaknya turut memohon agar Kementerian Kesihatan dapat melonggarkan syarat dengan membenarkan koperasi sebagai salah sebuah entiti yang boleh mengendalikan pusat dialisis.

Datuk Abdul Fattah Abdullah, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa). – Bernama
Datuk Abdul Fattah Abdullah, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa). – Bernama

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Pusat Dialisis MyAngkasa yang dikendalikan Koperasi Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak Berhad di sini kelmarin.

Pusat dialisis yang baharu beberapa bulan beroperasi di atas Klinik Wan Ali, Jalan Depo di sini mampu memberikan perkhidmatan kepada 24 orang pesakit dalam tiga syif dengan empat mesin ketika ini. – Bernama