Sasar eksport RM12 juta pisang ‘Saba’

Sasar eksport RM12 juta pisang ‘Saba’

KOTA KINABALU, 12 Julai – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sabah menyasarkan mengeksport pisang Saba ke Semenanjung Malaysia bernilai RM12 juta tahun ini berbanding RM10 juta tahun lepas.

Pengarahnya, Ribin Wahid berkata sasaran itu mampu dicapai berdasarkan trend eksport komoditi itu yang meningkat setiap tahun sejak FAMA Sabah secara serius terlibat dalam aktiviti mengeksport pisang Saba pada 2012.

“Pada tahun lalu sahaja FAMA dan pihak lain mengeksport kira-kira 8,600 tan metrik pisang Saba ke Semenanjung dan trend pengeksportan ini terus meningkat. Sehingga Mei tahun ini sahaja, Sabah sudah mengeksport 5,300 tan metrik pisang Sabah ke Semenanjung,” katanya kepada Bernama.

Katanya, antara pengimport utama pisang Saba dari Sabah ialah Kuala Lumpur dan Johor dan ada dalam kalangan ne-geri pengimport pisang itu memasarkan semula komoditi itu termasuk ke Singapura bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Pisang Saba sangat mudah didapati di Sabah dan ia amat sesuai digoreng dan dibuat pengat serta produk makanan berasaskan pisang seperti kerepek.

Ribin berkata melalui eksport pisang Sabah, sekurang-sekurangnya 2,000 petani di Sabah mendapat manfaat secara langsung atau tidak langsung daripada aktiviti itu.

Bagaimanapun, katanya, bagi memastikan pasaran pisang Saba terus berkembang dan stabil, FAMA menasihatkan petani supaya memberi keutamaan kepada kualiti tanaman pisang mereka bagi memastikan gred pisang sentiasa baik serta meni-ngkat dan bukan berasas kuantiti semata-mata.

“Kami akan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Pertanian supaya petani dapat memahami kehendak (pasaran) eksport. Kami harapkan pisang Saba mereka sentiasa bermutu bagi memudahkan keluaran mereka mendapat pasaran,” kata Ribin. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA