Sasar hasil minyak IS

Sasar hasil minyak IS

PARIS, 16 Dis (AFP) – Draf resolusi yang akan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan PBB mempunyai matlamat ‘jelas’ terhadap kumpulan Islam IS dan perdagangan minyaknya yang menguntungkan, Menteri Kewangan Perancis Michel Sapin memberitahu AFP dalam satu temu bual hari ini.

Sapin berkata resolusi itu, yang akan dibahaskan esok, akan memberikan ‘mesej politik sangat kuat: memerangi pembiayaan keganasan adalah salah satu keutamaan anggota-anggota PBB dan setiap negeri mesti mengambil langkah perlu.”

Dan sebelum mesyuarat esok dengan kesemua 15 menteri kewangan negara-negara anggota Majlis Keselamatan – yang pertama seumpamanya – Sapi memberi amaran bahawa negara-negara yang gagal menghentikan pembiayaan kepada pejuang jihad berpotensi berdepan sekatan.

Perancis meminta mesyuarat itu diadakan ekoran serangan ganas di Paris bulan lalu yang mengorbankan 130 orang dan IS telah mengaku melancarkan serangan itu.

Sapin telah menjadikan penghentian pembiayaan pelampau sebagai matlamat utama sejak bandar Perancis itu kali pertama diserang oleh kumpulan pejuang pada Januari lalu, apabila lelaki-lelaki bersenjata menyerang pejabat majalah Charlie Hebdo dan pasar raya Yahudi.

Berdasarkan resolusi awal yang menyasarkan Al-Qaeda, teks baru ‘ialah dengan jelas ditujukan kepada Daesh,’ kata Sapin, dengan menggunakan istilah lain bagi IS.

Dia menambah kata ia akan ‘terutamanya bermatlamat membekukan aset yang dalam apa cara sekali pun berpunca dari penyeludupan minyak.’

“Ia juga akan menuntut negara-negara itu mengamalkan sikap khas berjaga-jaga berhubung penyeludupan kerja seni yang boleh membiayai pergerakan besar seperti Daesh,” kata menteri itu.

Adam Szubin, pemangku penolong setiausaha Perbendaharaan AS bagi keganasan dan jenayah kewangan, minggu lalu berkata IS telah mengaut lebih $500 juta dalam jualan minyak pasaran gelap, selain merampas bilik kebal bank-bank yang dirampas di Iraq dan Syria serta mengumpulkan dana berjuta-juta lagi melalui peras ugut.

ARTIKEL YANG SAMA