Sasar juara pada kejohanan bola sepak Asia B-15

Sasar juara pada kejohanan bola sepak Asia B-15

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Sept – Pasukan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Brunei Darussalam akan mewakili negara bagi Kejohanan Bolasepak Sekolah-sekolah Asia Bawah 15 (B-15) Tahun anjuran Asian Schools Football Federation (ASFF), di Kuala Lumpur, Malaysia bermula 21 September hingga 1 Oktober ini.

Sehubungan dengan itu, majlis penyerahan bendera negara kepada ketua kontinjen telah diadakan baru-baru ini di Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan.

Hadir bagi menyerahkan bendera negara ialah Pemangku Pengarah Pendidikan Kokurikulum, Haji Azis bin Haji Nayan. Beberapa buah negara akan menyertai kejohanan itu nanti termasuk China, Hong Kong, Indonesia, Iran, Korea, Sri Lanka dan Thailand.

Menurut Haji Azis, ASFF bertanggungjawab terhadap pengendalian kejohanan bola sepak khusus bagi para pelajar sekolah-sekolah Asia yang menjadi ahli kepada persekutuan ini yang mana mempunyai sebanyak 17 buah negara ahli.

Beliau menambah, para peserta harus menjaga imej dan nama baik negara semasa berada di Kuala Lumpur, Malaysia dan sepanjang kejohanan berlangsung.

Tetamu kehormat menyerahkan bendera negara kepada ketua kontinjen.
Tetamu kehormat menyerahkan bendera negara kepada ketua kontinjen.

“Bukan sekadar imej sahaja harus dijaga, disiplin dan tujuan utama menyertai kejohanan ini perlu diambil kira, iaitu mendapatkan kejayaan,” ujar Haji Azis.

Antara tujuan kejohanan ini diadakan adalah sebagai kesinambungan kejohanan bola sepak bagi sekolah-sekolah Asia, penganjuran dan pelaksanaan aktiviti yang kondusif bagi kemajuan dan kualiti bola sepak di sekolah-sekolah Asia, menggalakkan hubungan setia kawan dan persefahaman dalam kalangan sekolah-sekolah Asia melalui acara sukan bola sepak.

Pasukan Majlis Sekolah-sekolah Brunei Darussalam sebelum ini telah menjalankan latihan sepanjang tahun secara berterusan dan bekerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) melalui latihan-latihan yang dikendalikan oleh jurulatih NFABD, Taka.

Di samping itu, pasukan berkenaan juga menyertai Kejohanan Youth U-16 NFABD dengan nama Tabuan A. Selain menjalankan latihan harian di Padang NFABD, Padang Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien dan banyak lagi.

Menurut kenyataan Jabatan Pendidikan Kokurikulum, pencapaian terbaik Negara Brunei Darussalam pada kejohanan berkenaan adalah pada 2011 apabila berjaya mara ke peringkat separuh akhir di Ubon Ratchathani, Thailand walau bagaimanapun pasukan negara telah tewas kepada pasukan Malaysia dengan jaringan 2-0.

ARTIKEL YANG SAMA