Sasar kejayaan di Vietnam

Sasar kejayaan di Vietnam

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Sept – Seramai sembilan orang kontinjen Negara Brunei Darussalam bertolak ke Da Nang, Vietnam, hari ini bagi mengikuti Kejohanan Sukan Pantai Asia ke-5 yang akan menyertai bagi acara sepak takraw dalam Kategori Trio dan Regu Lelaki.

Hadir bagi mengucapkan selamat berlepas kepada para kontinjen di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Kontinjen negara ke Vietnam diketuai oleh Awang Kifli bin Haji Jaafar selaku ketua misi, disertai Haji Brahim bin Haji Mahmun selaku pengurus pasukan, jurulatih pasukan sepak takraw kebangsaan serta barisan pemain yang bakal membawa nama negara di kejohanan itu.

Temasya sukan pantai itu akan berlangsung pada 24 September sehingga 3 Oktober yang mana penyertaan kali ini merupakan kali kelima negara bagi mempertahankan pingat emas yang diraih pada kejohanan yang sama dua tahun lalu di Thailand dalam acara Trio Lelaki.

Dato Paduka Dr. Haji Affendy turut sama membacakan doa sebelum para kontinjen berlepas ke Vietnam.
Dato Paduka Dr. Haji Affendy turut sama membacakan doa sebelum para kontinjen berlepas ke Vietnam.

Ketika ditemui, Haji Brahim menegaskan sasaran pada kejohanan kali ini adalah untuk merangkul kejuaraan dan sekali gus mempertahankan kejuaraan lalu dan memperbaiki pencapaian dalam acara regu.

“Kita mempunyai kelebihan kerana berada dalam kumpulan yang kurang sukar antaranya akan menentang pasukan India dan Nepal bagi acara Trio yang memberikan ruangan yang sedikit mudah sebelum ke peringkat seterusnya,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, jika mereka berjaya di peringkat kumpulan pastinya akan mampu berjaya pada peringkat seterusnya selain menyatakan harapan supaya semua pemain akan menunjukkan semangat juang yang tinggi dalam kejohanan kali ini.

“Latihan dibuat pada setiap hari kecuali Jumaat dan Ahad dan juga latihan tubi di Pantai Tungku sejak Februari lalu dan saya berharap kita akan berjaya pulang dengan kemenangan,” tegasnya lagi.