Sasar kerjaya...

Sasar kerjaya masa depan

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 14 Feb – Unit Kaunseling dan Kerjaya, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, Daerah Tutong telah mengadakan Program Eksplorasi Kerjaya Pelajar Tahun 10 XP dan Tahun 11 di sekolah tersebut, pagi tadi.

Program yang dihadiri oleh lebih 100 orang pelajar termasuk para ibu bapa itu bertujuan bagi membuka minda dan meningkatkan kefahaman pelajar mengenai pilihan hala tuju mereka selepas mendapat keputusan Peperiksaan ‘O’ Level atau Program BTEC.

Program Eksplorasi Kerjaya yang diselitkan dengan sesi taklimat dan pameran itu telah diadakan di dua lokasi di sekolah tersebut, yang mana, sesi taklimat di Dewan Kumpul telah disampaikan oleh wakil-wakil dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE); Perkhidmatan Kejururawatan, Kementerian Kesihatan; Pusat Pembangunan Belia dan Kolej Antarabangsa Micronet.

Manakala, wakil-wakil dari Politeknik Brunei, Pejabat Pengambilan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Allied Health Science Profession, Institut Teknologi Kejuruteraan (IET), Royal Brunei Training Scheme dan Perkhidmatan Pergigian, Kementerian Kesihatan telah mengadakan taklimat dan pameran di lokasi kedua, Tingkat 1, Perpustakaan sekolah tersebut.

Para pelajar ketika menyaksikan pameran dari Pejabat Pengambilan ABDB.
Para pelajar ketika menyaksikan pameran dari Pejabat Pengambilan ABDB.
Taklimat kerjaya yang disampaikan oleh wakil IBTE di Dewan Kumpul.
Taklimat kerjaya yang disampaikan oleh wakil IBTE di Dewan Kumpul.

Antara objektif program itu adalah untuk memberi maklumat kepada pelajar dan ibu bapa atau penjaga pelajar mengenai saluran hala tuju mereka selepas ‘O’ Level atau BTEC nanti, serta meningkatkan motivasi pelajar agar lebih fokus dalam menyasarkan gred yang baik bagi melayakkan mereka masuk ke institusi pilihan.

Selain itu, ia juga untuk memberi ruang kepada pelajar untuk memilih kursus yang bersesuaian dengan subjek yang dipelajari dengan minat mereka serta pilihan kerjaya untuk masa hadapan mereka.

Melalui program ini, pelajar-pelajar dan ibu bapa juga berpeluang untuk bertanyakan lebih lanjut mengenai kursus-kursus yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi yang menyertai program berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA