Sasaran ke universiti pilihan

Sasaran ke universiti pilihan

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Feb – Lebih 200 pelajar yang kesemuanya ingin mencari universiti sesuai untuk melanjutkan pengajian ke peringkat seterusnya telah menghadiri Pameran Pendidikan United Kingdom (UK) yang diadakan di Hotel Antarabangsa Rizqun dari jam 2:30 petang hingga 7 malam.

Dalam pendekatan Media Permata bersama pihak penganjur, Pengarah Findlay, Sanita Martin menjelaskan ini merupakan pesta ketiga yang dijalankan oleh Findlay bagi membantu pelajar mendapatkan penerangan jelas mengenai hala tuju mereka.

Di samping itu, pesta yang diadakan sekali dalam enam bulan ini juga menampakkan peningkatan yang ketara dalam membantu para pelajar menjawab setiap persoalan mereka.

Ini tidak sahaja tertakluk kepada para pelajar yang telah mendapat keputusan peperiksaan mereka malah bagi mereka yang bakal menduduki peperiksaan juga perlu mengetahui lebih awal hala tuju peringkat akademik mereka.

Salah seorang pengunjung yang ditemui, Dayang Mursyidah Murni, 16 yang hadir bersama ibunya menjelaskan, dengan adanya pesta seumpama ini, dapatlah membantu beliau mendapatkan idea untuk sasaran universiti yang bakal dimasuki.

Dayang Amiratul yang menemani Awang Amir untuk bertanyakan tentang peluang-peluang melanjutkan pelajaran yang ditawarkan pada pameran itu.
Dayang Amiratul yang menemani Awang Amir untuk bertanyakan tentang peluang-peluang melanjutkan pelajaran yang ditawarkan pada pameran itu.
Dayang Mursyidah Murni (kanan) bersama ibunya menantikan giliran untuk bertanyakan ke salah sebuah pondok universiti yang ada.
Dayang Mursyidah Murni (kanan) bersama ibunya menantikan giliran untuk bertanyakan ke salah sebuah pondok universiti yang ada.

Beliau yang bakal menduduki Peperiksaan Peringkat ‘A’ itu memberitahu, pihak sekolah mendorong mereka menghadiri pesta sebegini yang menambahkan semangat beliau mendapatkan keputusan yang lebih cemerlang.

“Penerangan yang diberikan akan dapat membantu saya mencapai sasaran yang saya perlukan. Saya berminat dalam bidang perakaunan dan kewangan maka saya memerlukan universiti terbaik untuk menetapi sasaran dalam melanjutkan pelajaran saya,” ujarnya lagi.

Ibu beliau juga menyatakan pesta tersebut sangat bagus untuk para pelajar mendapatkan penjelasan yang sahih berbanding mendengarkannya daripada orang lain.

Sementara itu, Dayang Amiratul Akmal, 22, pula menemani adiknya Awang Amir Fakri, 19 yang baru mendapat keputusan Peringkat ‘A’, untuk mendapatkan universiti mana yang perlu dituju untuk melanjutkan peringkat sarjana muda adiknya.

“Dengan menghadiri pesta ini, saya dan adik saya akan mendapatkan sebanyak maklumat yang boleh dan saya dan adik saya akan duduk dan berbincang di rumah untuk membuat keputusan mengenainya,” ujarnya lagi.

Awang Amir Fakri yang meminati bidang Kimia dan Ekonomi juga memberitahu, dengan adanya pameran seperti ini maka dapatlah membantu beliau mengehadkan pilihan universiti luar negeri yang bakal diduduki.

Findlay yang baru beroperasi 18 bulan di negara ini banyak membantu para pelajar dan graduan untuk meneruskan pembelajaran mereka ke peringkat seterusnya.

Dengan adanya pesta seperti ini juga dapatlah membantu para pelajar mengetahui lebih jelas dan sahih tentang apa yang harus dilakukan setelah mendapatkan keputusan peperiksaan mereka.

ARTIKEL YANG SAMA