Satu gambar seribu kata

Satu gambar seribu kata

BERLIN, 31 Mei – Sekeping gambar yang memaparkan anak damit penghijrah yang sudah tidak lagi bernyawa yang ditarik keluar dari laut Mediterranean disiarkan oleh sebuah badan amal dengan harapan untuk memaksa para pemimpin Eropah supaya memberikan kepada para penghijrah laluan selamat, selepas beratus-ratus diandaikan telah mati di laut minggu lalu.

Anak damit yang dipaparkan dalam gambar itu tidak didedahkan identitinya, namun pertubuhan bukan kerajaan Jerman, Sea-Watch berkata anak damit itu telah ditemui di perairan itu minggu lalu selepas sebuah bot kayu yang membawa 350 orang penghijrah karam di perairan pantai Libya.

Gambar itu yang memaparkan anak damit itu, matanya tutup dengan bibirnya berona biru, dipegang oleh seorang anggota penyelamat. Ramai penghijrah telah pun mati lemas apabila bot penyelamat tiba, menurut kumpulan kemanusiaan itu tanpa memberikan bilangan khusus.

Menurut Sea-Watch tindakan segera diperlukan dari para pemimpin Kesatuan Eropah untuk menghalang lebih banyak kematian para penghijrah, ketika Eropah berdepan krisis penghijrah teruk sejak Perang Dunia II.

“Jika kita tidak mahu melihat gambar-gambar seumpama itu kita perlu berhenti menghasilkannya,” Sea Watch berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersama gambar itu semalam.

Seorang anggota penyelamat memegang mayat seorang anak damit yang lemas dalam operasi menyelamat di pinggir pantai Libya. – AP
Seorang anggota penyelamat memegang mayat seorang anak damit yang lemas dalam operasi menyelamat di pinggir pantai Libya. – AP

“Selepas peristiwa dahsyat ini telah menjadi jelas bahawa gesaan oleh ahli-ahli politik EU supaya mengelak kematian seterusnya di laut, dirumuskan sebagai hanyalah cakap-cakap kosong.”

Gambar itu disiarkan selepas minggu maut di Mediterranean, dengan 700 orang dikhuatiri mati dan beberapa orang kanak-kanak dilaporkan mati lemas dalam siri-siri kemalangan bot ketika beribu-ribu orang terus cuba menyeberangi lautan berbahaya itu menuju Eropah dengan menaiki bot usang dari Timur Tengah dan Afrika.

Kebanyakan mereka yang terbunuh di laut yang cuba untuk sampai ke pesisir Eropah adalah kanak-kanak.

Gambar seorang anak lelaki Syria berusia tiga tahun, Aylan Kurdi yang dihanyutkan ke pesisir pantai Turki tahun lalu telah mengejutkan dunia.

“Kemalangan-kemalangan ini tidak akan berhenti.. dasar yang memaksa penghijrahan akan sentiasa membawa kepada gambar-gambar seumpama itu. Kami berpendapat penubuhan sistem baru yang memastikan kemasukan sah dan selamat ke EU boleh akhirnya menamatkan tragedi kemanusiaan ini,” tambah kenyataan itu lagi.

Sea-Watch mewajarkan penerbitan gambar itu dengan mengatakan bahawa gambar-gambar seumpama itu yang ‘perlu diakui oleh masyarakat Eropah sebagai tragedi adalah kesan dari dasar luar EU.” – AFP

ARTIKEL YANG SAMA