Satu kejayaan dapat bersemuka di meja rundingan

Satu kejayaan dapat bersemuka di meja rundingan

BANGKOK, 22 April – Walaupun rundingan damai selatan Thai hanya mencapai sedikit kejayaan setakat ini, namun kesanggupan pihak kerajaan Thailand dan puak militan untuk duduk bersama di meja rundingan boleh dianggap sebagai satu kejayaan, ulas pegawai tinggi kerajaan.

Ketua pasukan rundingan kerajaan, Jen Aksara Kerdphol berkata rundingan yang di mana Malaysia memainkan peranan utama berjalan lancar walaupun memerlukan lebih masa untuk membuahkan hasil. Beliau berkata kedua-dua pihak mahu mencapai penyelesaian terbaik dengan mahu berunding dan mencari cara menangani keganasan.

“Yang penting kami (kerajaan dan kumpulan militan) masih berbincang. Ini satu kejayaan, namun prosesnya memerlukan lebih masa untuk mencapai matlamat (mengakhiri konflik).

“Kami berbincang dengan pandangan yang berbeza. Jadi ia bukan mudah, tapi kami masih berbincang,” katanya kepada Bernama. Aksara, bekas ketua lembaga penasihat tentera dan dilantik sebagai menteri oleh Perdana Menteri, Jen Prayuth C\ʼhan-o-cha untuk mengetuai rundingan damai berkata proses damai masih pada peringkat membina keyakinan.

Kerajaan Thai terlibat dalam perbincangan tidak formal dengan Mara Patani (Majlis Syura Patani), iaitu kumpulan yang menghimpun pelbagai kumpulan militan di selatan Thailand.

Kedua-dua pihak telah mengadakan rundingan teknikal sejak lebih setahun lalu dengan pusingan seterusnya dijangka diadakan di Kuala Lumpur dalam minggu-minggu mendatang.

Menurut Aksara, apa pun kesukaran yang bakal dihadapi, kedua-dua pihak perlu yakin dan bersabar kerana masalah yang dihadapi adalah kompleks. – Bernama