Satu lagi kejayaan dilakar

Satu lagi kejayaan dilakar

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jun – Negara Brunei Darussalam kini melakar sejarah baru setelah berjaya melakukan prosedur implan ‘Micra Leadless Pacemaker’ iaitu implan perentak jantung terkecil tanpa wayar kepada dua pesakit yang mengalami Bradycardia (kadar jantung yang perlahan).

Implan Micra Leadless Pacemaker ini telah dilakukan oleh dua orang doktor tempatan iaitu Konsultan Kardiologi dan Electrophysiologist dan Ketua Unit Kardiologi Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) Dr Sofian bin Dato Paduka Dr Haji Johar dan Pakar Jantung, Dr Nazar Luqman dengan kerjasama Pusat Jantung Gleneagles Pusat Perubatan Jerudong Park (GJPMC).

Negara Brunei Darussalam adalah negara kedua di rantau Asia Pasifik termasuk Australia dan New Zealand melakukan implan Micra Leadless Pacemaker selepas pengeluaran secara komersil perentak jantung pada bulan Jun 2015.

Implan hari ini ialah merupakan implan ketiga dan keempat di rantau Asia Pasifik.

Prosedur pengimplanan ini telah dijalankan kelmarin dengan jayanya kepada dua orang pesakit iaitu Dayang Etty Ediana binti Haji Kassim, 38 dan Awang Salleh bin Tundak, 85.

Yang Berhormat Pehin Haji Adanan melawat pesakit, Awang Salleh, 85 yang menjadi penerima pertama implan ‘Micra Leadless Pacemaker’ di Brunei.
Yang Berhormat Pehin Haji Adanan melawat pesakit, Awang Salleh, 85 yang menjadi penerima pertama implan ‘Micra Leadless Pacemaker’ di Brunei.

Sehubungan dengan itu, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof petang tadi telah membuat lawatan ke Pusat Jantung GJPMC bersempena dengan kejayaan implan yang telah dilakukan.

Yang Berhormat Pehin ketika ditemui melahirkan rasa bangga dan gembira kerana pencapaian terbaru ini.

“Perkembangan ini merupakan satu kebanggaan bagi Negara Brunei Darussalam di mana perentak jantung yang baru ini adalah salah satu daripada pembaharuan terhadap penggunaan perentak jantung di zaman yang berteknologi. Ia menghendaki pakar-pakar yang mampu menggunakan teknologi ini terutama sekali di kalangan anak-anak tempatan.”

Yang Berhormat Pehin sangat kagum kerana Micra Leadless Pacemaker telah berjaya membantu merawat salah seorang pesakit yang berumur 85 tahun di mana beliau telah menjalani prosedur ini dengan lancar.

Pembaharuan ini adalah semata-mata dalam membantu pesakit-pesakit yang mengalami ritma jantung yang lemah di negara ini dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan pakar-pakar perentak jantung serta Pusat Jantung GJPMC.

Di samping itu juga, Yang Berhormat Pehin menekankan agar orang ramai selalu peka akan kepentingan mempunyai kehidupan yang sihat dalam mengelakkan penyakit-penyakit yang tidak diingini.

Selain itu juga, pesakit-pesakit turut disaran untuk segera mendapatkan rawatan agar simptom penyakit dapat dirawat di peringkat awal lagi.

Menurut kenyataan yang diberikan, Micra Leadless Pacemaker ini merupakan perentak jantung yang terkecil di dunia dan ia digunakan dengan tidak menggunakan wayar. Perentak jantung ini beratnya kira-kira dua gram dan mempunyai saiz satu per sepuluh daripada saiz perentak jantung yang normal.

Prosedur perentak jantung terbaru ini dijahit melalui urat yang besar yang membawa kepada bahagian jantung di kanan dan diletakkan ke dinding jantung di antara ventrikel kiri dan kanan.

Setelah selesai, prosedur perentak jantung ini diletakkan di tempat yang tepat dan diuji dan kemudiannya dibebaskan, membenarkan ia berfungsi dengan mengikut rentak jantung yang betul.

Dengan perentak jantung baru ini, masalah-masalah yang berkaitan dengan wayar dan bateri tidak lagi dihadapi, seperti risiko jangkitan atau kerosakan wayar. Di samping itu, pesakit juga tidak lagi perlu mempunyai bekas luka di dada dan masa pemulihan sepenuhnya boleh dicapai dalam beberapa hari sahaja.

Menurut Dr Sofian, rawatan ini akan dapat merubah cara-cara merawat pesakit yang mempunyai masalah ritma jantung.

“Walaupun kami mempunyai ramai pesakit yang menjalani rawatan dengan menggunakan prosedur perentak jantung yang normal, perentak jantung baru ini merupakan satu pencapaian penting dalam teknologi perentak jantung dan berpotensi menghapuskan banyak keburukan daripada perentak jantung normal.”

Ketua Pegawai Eksekutif GJMPC menyatakan bahawa mereka akan meneruskan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam memperkenalkan teknologi revolusi ini kepada pesakit jantung di Brunei.