Satu lagi kes raksa tumpah di Sarawak

Satu lagi kes raksa tumpah di Sarawak

MIRI, 10 Ogos – Kurang seminggu selepas kejadian tumpahan raksa di Limbang, satu lagi kes sama berlaku, kali ini di pejabat One Medicare Hospital Marudi, di sini hari ini.

Ini adalah insiden keempat dilaporkan di kawasan utara Sarawak tahun ini, dengan tiga daripadanya berlaku di Limbang termasuk kejadian terakhir di Klinik Kesihatan Lawas pada 4 Ogos lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marudi, Zulbada Alior berkata raksa tersebut tumpah ke lantai pejabat itu dari termometer, namun tidak dapat dipastikan puncanya. Menurut Zulbada, sebaik dimaklumkan pada pukul 11:49 pagi, sepasukan bomba dihantar ke Hospital Marudi untuk khidmat khas membersih tumpahan raksa itu.

“Kerja pembersihan dijalankan dengan menggunakan bahan peluntur oleh anggota bomba yang menggunakan alat pernafasan,” katanya sambil menambah ini adalah insiden pertama sejak beliau bertugas di situ pada 2014.

Beliau berkata, operasi pembersihan itu bermula pukul 11:55 pagi dan berakhir pada 12:45 tengah hari. – Bernama