Satu lagi taufan dijangka berlaku

Satu lagi taufan dijangka berlaku

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Julai – Satu lagi taufan aktif di Barat Lautan Pasifik dijangka bergerak menuju ke rantau ini dan berpotensi menyebabkan hujan berangin ribut sekali-sekala pada minggu ini.

Menurut maklumat yang dikeluarkan oleh Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam, semasa Monsun Barat Daya, pembentukan ribut tropika atau taufan adalah aktif di Barat Lautan Pasifik dan kebiasaannya bergerak melintasi Filipina atau Laut Cina Selatan dan menyebabkan keadaan cuaca hujan lebat berserta angin kencang.

Dalam hal ini, Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) menasihatkan orang ramai agar selalu berwaspada dan mengambil langkah-langkah perlu dalam memastikan keselamatan mereka, di samping mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Orang ramai juga disarankan untuk mendapatkan maklumat atau nasihat cuaca terkini melalui laman Facebook atau laman sesawang Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam di www.met.gov.bn.

Orang ramai juga boleh menghubungi pegawai kaji cuaca bertugas di talian cuaca 144 atau 2345567.

ARTIKEL YANG SAMA