Satu padu dalam bermasyarakat

Satu padu dalam bermasyarakat

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jun – Jawatankuasa Majlis Perundingan Kampung (MPK) Perpindahan Mata-Mata, Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati, Mata-Mata, hari ini, telah menganjurkan kempen kebersihan di masjid kampung tersebut dan persekitarannya.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Mohd Sunadi bin Haji Buntar.

Kempen yang disertai oleh para penduduk Kampung Mata-Mata itu bertujuan bagi menunjukkan sifat bersatu padu sebagai sebuah masyarakat serta memupuk semangat kekeluargaan di samping menjaga kebersihan alam sekitar di kampung berkenaan.

Pada kempen tersebut, Ketua Kampung Mata-Mata, Pengiran Haji Mohd Salleh bin Pengiran Haji Abdul Rahman dalam ucapannya menjelaskan, kempen ini diadakan buat julung-julung kalinya dengan tujuan untuk menjaga kebersihan masjid demi keselesaan jemaah terutama dalam menyambut kedatangan bulan Ramadan yang bakal menjelang dalam masa beberapa hari sahaja lagi.

Haji Mohd Sunadi (tengah) yang hadir selaku tetamu kehormat majlis.
Haji Mohd Sunadi (tengah) yang hadir selaku tetamu kehormat majlis.

Di samping itu, melalui kempen ini juga akan mampu menarik pengunjung terutama penduduk berdekatan untuk beramal ibadah dan memperlihatkan keadaan yang lebih menarik kepada orang ramai.

Beliau turut menyatakan harapan agar kempen seperti ini akan diteruskan lagi di masa akan datang supaya para penduduk kampung sentiasa bersatu padu dalam menyertai aktiviti kemasyarakatan.

ARTIKEL YANG SAMA