Satu pengalaman berharga

Satu pengalaman berharga

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Ogos – Setiap kali konvokesyen diadakan, berduyun-duyun ahli keluarga para graduan datang untuk meraikan hari bersejarah tersebut kerana inilah saat bersejarah di mana mereka dapat melihat anak kesayangan atau ahli keluarga berjaya atas usaha yang diberikan sepanjang pengajian mereka.

Sementara itu, bagi para graduan pula inilah masa yang ditunggu-tunggu untuk dianugerahkan segulung diploma dan ijazah, di mana kegembiraan, peluk cium dan titisan air mata kegembiraan menyelubungi mereka pada hari konvokesyen itu.

Pada majlis Konvokesyen Pengajian Siswazah Antarabangsa (Kolej IGS) yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin menyaksikan 638 graduan dari pelbagai jurusan Perniagaan dan Teknologi Maklumat menerima sijil-sijil mereka.

Di majlis itu pihak media sempat menemu bual salah seorang graduan iaitu Nurul Amal Khairunnina Athirah binti Pengiran Sura Negara Pengiran Anak Haji Muhammad Bey Muntassir yang antara lain melahirkan harapan jika berpeluang beliau akan melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di dalam negara.

Manakala Dayang Rohani binti Haji Abdul Hamid semasa ditemui melahirkan perasaan gembira dan bersyukur kepada Allah S.W.T atas limpah kurniaNya jua apabila akhirnya berjaya menamatkan pengajiannya di kolej tersebut.

Nurul Amal Khairunnina Athirah yang menerima ijazahnya kelmarin.
Nurul Amal Khairunnina Athirah yang menerima ijazahnya kelmarin.
Dayang Rohani yang merupakan seorang isteri dan ibu berjaya menamatkan pengajiannya.
Dayang Rohani yang merupakan seorang isteri dan ibu berjaya menamatkan pengajiannya.

Menurutnya, walaupun sebelum ini tidak mempunyai pengetahuan dalam mata pelajaran perniagaan, namun berkat usaha dan doa serta sokongan yang diberikan suami, akhirnya beliau dapat menamatkan pengajian sekali gus menerima segulung ijazah.

Beliau kemudian menjelaskan, meskipun pengajian selama tiga tahun ini ditanggungnya sendiri, namun disebabkan minat untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi, beliau bertekad untuk berkorban demi masa depannya.

“Bagi saya walaupun pengajian ini ditanggung sendiri, ini adalah pelaburan untuk saya sendiri untuk mendapatkan kejayaan yang lebih teratur dan baik,” ujarnya.

Selepas ini, di samping untuk mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan, beliau juga berhasrat berusaha membuka perniagaan sendiri di mana ia bertepatan dengan jurusan yang diambil semasa di kolej IGS.

Beliau yang juga merupakan seorang isteri dan ibu, berkongsi pengalaman pembahagian masa dengan keluarga.

Menurutnya, memang sukar baginya dalam membahagikan masa belajar kerana pada sebelah pagi dan petang beliau bekerja dan hanya pada sebelah malam hingga pada pukul 10 malam sahaja masa beliau untuk menghadiri kelas setiap hari.

“Rutin ini dibuat setiap hari, dan berkat kesabaran ini dan keluarga yang memahami, saya dapat membahagikan masa tersebut dengan teratur selain berterima kasih kepada rakan-rakan seperjuangan kerana dengan adanya kerjasama bersama mereka dapatlah kami mengatur masa belajar dengan jayanya,” tambahnya.

Sementara itu, seorang lagi graduan, Dayang Norastizah binti Haji Mohd Ali melahirkan rasa syukur kerana dikurniakan biasiswa daripada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang memberikannya peluang untuk menyambung pengajian dan pada masa yang sama meneruskan pekerjaan dan tanggungjawab keluarga.

“Ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada kerajaan Baginda Sultan serta sokongan daripada suami dan keluarga yang memahami sepanjang pengajian tidak kurang juga kepada Syarikat Penerbangan Diraja Brunei yang memberikan kebenaran untuk saya melanjutkan pengajian,” ujarnya.

Beliau kemudian menjelaskan bahawa selepas ini beliau merancang untuk meneruskan perniagaan persendirian dan dalam pada masa yang sama memberi galakan kepada generasi kini untuk menaikkan dan memberikan sumbangan kepada ekonomi negara.

“Dengan adanya ijazah ini dan juga ilmu yang diberikan ketika pengajian di Kolej IGS ia dapat memberikan peluang kepada saya untuk menerokai dunia perniagaan sebenar dan untuk mencapai cita-cita yang diidamkan,” ujar Dayang Norastizah lagi.

ARTIKEL YANG SAMA