Satu pengiktirafan bermakna

Satu pengiktirafan bermakna

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Ogos – Pengurniaan Bintang-bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-70 tahun merupakan satu pengiktirafan yang amat bermakna kepada para penerima di atas sumbangan dan jasa baik mereka kepada pembangunan negara ini.

Timbalan Penguasa Polis, Pengiran Shaiful Rezal Malek Faesal bin Pengiran Haji Merali yang dikurniakan Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia Darjah Keempat (P.S.B) menyatakan, pengurniaan itu merupakan satu kebanggaan bagi diri mereka yang dijadikan motivasi untuk lebih berusaha dan lebih bekerja keras dalam menjalankan tugas-tugas seharian.

“Saya ingin menyembahkan junjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan di atas pengurniaan ini,” ujarnya ketika ditemui pada Istiadat Pengurniaan Bintang-Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam sempena Hari Keputeraan Baginda ke-70 tahun, di Balai Singgahsana Indera Kenchana, Istana Nurul Iman, hari ini.

Beliau yang juga selaku Pemangku Pengarah Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei berkata, pelbagai cabaran telah beliau lalui sepanjang perkhidmatan lebih kurang 21 tahun bersama Pasukan Polis Diraja Brunei, bukan sahaja di bahagian pancaragam, tetapi juga di bahagian penyiasatan, pentadbiran, perhubungan awam yang telah beliau ceburi sejak dari awal perkhidmatannya.

Dalam kesempatan itu, beliau turut menasihatkan para pegawai polis yang baru untuk mementingkan disiplin.

Pengiran Shaiful Rezal Malek Faesal menerima Bintang Kebesaran P.S.B Darjah Keempat.
Pengiran Shaiful Rezal Malek Faesal menerima Bintang Kebesaran P.S.B Darjah Keempat.

“Kalau tidak ada disiplin, memang segala kerja yang kita buat tidak akan berjalan dengan lancar. Selain itu juga, komitmen kerja dan jangan mudah berputus asa juga adalah antara aspek lain yang penting juga, Jika kita mudah berputus asa, sudah setentunya sekejap sahaja perkhidmatan yang kita berikan. Apa yang kita mahukan juga tidak akan tercapai,” tekannya.

Seorang lagi penerima Bintang Kebesaran, Awang Khalidkhan bin Haji Asmakhan juga menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia kerana telah mengurniakan beliau Bintang Kebesaran.

“Saya juga menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia kerana pengurniaan ini bagi saya memang amat berharga.”

Menurutnya, beliau telah berkhidmat dengan Penerbangan Diraja Brunei (RB) hampir 35 tahun.

“Oleh yang demikian, walaupun masih gigih menerbangkan pesawat tapi sebenarnya kerja saya ialah juruterbang pengurusan (management pilot), iaitu pentadbir di RB,” jelas beliau yang telah menerima pengurniaan Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Ketiga (S.M.B).

Beliau juga mengongsikan cabaran beliau sepanjang kerjaya beliau, yang mana menurutnya cabaran itu memang bermacam-macam. Sejak awal perkhidmatan RB, beliau merupakan seorang juruterbang Boeing, di mana sudah lima jenis Boeing yang diterbangkannya dan yang terbaru ialah Boeing 787.

“Jadi, cabaran yang dihadapi bermacam-macam dan tidak menentu, ada yang senang dan ada juga yang susah serta mempunyai pelbagai kategori. Kadang-kadang penumpangnya yang sakit, anak kapalnya sakit, cuaca yang tidak menentu. Oleh itu, kita perlu menghadapi sebagai satu cabaran.”

Kapten Sharifah Czarena, bergambar ramai bersama rakan-rakannya, Dayang Sariana binti Nordin dan Dayangku Nadiah binti Pengiran Khashiem yang juga sama-sama menerima Bintang Kebesaran P.S.B.
Kapten Sharifah Czarena, bergambar ramai bersama rakan-rakannya, Dayang Sariana binti Nordin dan Dayangku Nadiah binti Pengiran Khashiem yang juga sama-sama menerima Bintang Kebesaran P.S.B.

Beliau juga menasihatkan kepada orang ramai yang berminat dan hendak menjinakkan diri mereka dalam bidang berkenaan supaya tekun belajar, dan mendapatkan apa-apa subjek yang dikehendaki pihak penerbangan.

“Jaga iman dan juga sentiasa dalam keadaan yang sihat, mudah-mudahan setelah mendapat jawatan berkenaan, teruskan pembelajaran anda untuk menjadi seorang kapten penerbangan secara penuh,” tambahnya.

Turut menerima bintang kebesaran ialah juruterbang RB, Kapten Sharifah Czarena Surainy binti Syed Haji Hashim yang turut melahirkan perasaan gembira dan setinggi-tinggi menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia terhadap pengurniaan Bintang Kebesaran yang diterimanya iaitu Darjah Setia Negara Brunei Yang Amat Bahagia Darjah Keempat (P.S.B).

Kapten Sharifah Czarena menyatakan bahawa pengurniaan ini adalah sesuatu yang beliau tidak jangka sepanjang kerjaya beliau, dan begitu awal dalam kerjaya beliau untuk menerima Bintang Kebesaran berkenaan.

Beliau yang telah berkhidmat di RB selama 12 tahun menjelaskan, “Saya amat gembira atas pengurniaan bintang ini kerana ia menunjukkan bahawa bukan sahaja di sektor kerajaan tetapi Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga mengiktiraf pencapaian kami sebagai sebuah syarikat penerbangan dan juga apa yang kami telah kecapi sebagai seorang individu.

“Sekarang saya merupakan seorang kapten, oleh itu Insya-Allah saya dapat maju dalam kerjaya mungkin dengan memasuki jawatan pengurusan, atau bidang latihan, mudah-mudahan dalam tempoh beberapa tahun akan datang, kita dapat melihat ada beberapa perkembangan kerana inilah yang saya harapkan dan dengan itu, saya juga berharap ia menjadi inspirasi motivasi bukan sahaja kepada semua rakan-rakan saya tetapi juga kepada semua orang di Brunei,” ujarnya lagi.

Seorang lagi penerima, Tan San Leong juga menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia kerana telah mengurniakan beliau Bintang Kebesaran iaitu Darjah Seri Paduka Mahkota Brunei Yang Amat Mulia Darjah Ketiga (S.M.B).

Selaku rakyat Brunei, beliau ingin bekerja keras memajukan lagi perniagaan di Negara Brunei Darussalam terutama setelah menerima pengurniaan berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA