Saudara baru dapat rumah lebih selesa

Saudara baru dapat rumah lebih selesa

Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi

 

TEMBURONG, 11 April – Tiga saudara baru di Daerah Temburong, kini mempunyai tempat berteduh yang lebih selesa apabila menerima rumah bantuan yang dibiayai sepenuhnya oleh Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) melalui kumpulan zakat asnaf mualaf.

Penyerahan anak kunci kepada Dayang Masnah binti Abdullah Bana bagi rumahnya di Kampung Sibut; Dayang Norhaya binti Abdullah Kanang di Kampung Amo dan Dayang Nursabariah binti Abdullah Bungka di Kampung Temada, Bokok, telah disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku tetamu kehormat majlis yang berlangsung di Balai Raya Kampung Sibut Daerah Temburong, hari ini.

Antara objektif rumah bantuan berkenaan diberikan adalah, sebagai salah satu sarana dakwah kepada mualaf di negara ini dalam membantu mempertingkatkan mutu kehidupan mereka bagi menjamin kehidupan yang lebih baik dan sempurna agar mereka dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna.

Tetamu Kehormat ketika menyerahkan rumah bantuan kepada salah seorang penerima.
Tetamu Kehormat ketika menyerahkan rumah bantuan kepada salah seorang penerima.
Yang Berhormat Pehin bergambar ramai bersama para pegawai dan penerima rumah bantuan.
Yang Berhormat Pehin bergambar ramai bersama para pegawai dan penerima rumah bantuan.

Dengan adanya rumah bantuan ini juga diharapkan agar para penerima akan dapat memanfaatkannya sebaik mungkin sesuai dengan objektif Pusat Dakwah Islamiah untuk menjadikan bantuan rumah ini sebagai satu sarana dakwah yang berkesan.

Para penerima juga diingatkan supaya rumah bantuan berkenaan hendaklah sentiasa dijaga kebersihan dan kesuciannya serta tidak digunakan bagi melakukan perkara-perkara yang dilarang dalam Islam.

Selain itu, mereka juga disarankan untuk sentiasa memakmurkan rumah mereka dengan menunaikan sembahyang, membaca Al-Quran, berzikir dan sebagainya.

Bermula dari tahun 1993 hingga 2015 sejumlah 82 buah rumah bantuan Pusat Dakwah lslamiah telah diserahkan kepada mualaf-mualaf yang terpilih di seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut, lima buah di Daerah Brunei dan Muara, 30 di Daerah Tutong, 18 di Daerah Belait dan 29 buah lagi di Daerah Temburong.

ARTIKEL YANG SAMA