Saudara baru diraikan di Majlis Aidilfitri

Saudara baru diraikan di Majlis Aidilfitri

Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi, HM Yusof

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Ogos – Dalam kemeriahan menyambut bulan Syawal ini, saudara-saudara baru tidak dilupakan dengan Pejabat Unit Dakwah Islamiah bagi kedua-dua daerah, iaitu Tutong dan Temburong telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di daerah masing-masing, baru-baru ini.

Bagi Daerah Temburong, kali ini Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), telah menyambut Aidilfitri bersama saudara baru di Balai Ibadat Kampung Semabat, Mukim Bokok.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman, Setiausaha Tetap KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharajalela Haji Mohd Yusof, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Ahad, Penghulu Mukim Bokok, Haji Emran bin Haji Sabtu, Ketua Kampung Lepong Baru, Ambol anak Bakit, pegawai-pegawai kanan KHEU serta saudara-saudara baru daerah berkenaan.

Sambutan itu adalah sebahagian daripada projek tahunan Unit Khas Bahagian Pengembangan Dakwah, Pusat Dakwah Islamiah dalam rangka pemedulian terhadap kebajikan saudara-saudara baru khususnya bagi mereka yang berada di kawasan pendalaman di samping mengeratkan hubungan silaturahim sesama Islam.

Tetamu kehormat bergambar ramai bersama saudara-saudara baru di Daerah Temburong. – Gambar oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi
Tetamu kehormat bergambar ramai bersama saudara-saudara baru di Daerah Temburong. – Gambar oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi
Tetamu kehormat bergambar ramai bersama saudara baru dan warga emas di Daerah Tutong. – Gambar oleh HM Yusof
Tetamu kehormat bergambar ramai bersama saudara baru dan warga emas di Daerah Tutong. – Gambar oleh HM Yusof

Sementara itu, Persatuan Saudara-saudara Baru Daerah Tutong (PESATU) dan Majlis Belia Daerah Tutong (MBDT) dengan kerjasama Pejabat Unit Dakwah Daerah Tutong telah mengadakan majlis seumpamanya di Bangunan PESATU, Jalan Kampung Lubok Pulau ,Tutong.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Penolong Pegawai Daerah Tutong, Haji Adanan bin Haji Adam.

Turut hadir ialah Ahli Mesyuarat Negara selaku Penasihat Tetap PESATU, Yang Berhormat Haji Othman bin Uking dan isteri, ketua unit dakwah dan wakil persatuan yang bergabung dengan MBDT.

Yang Dipertua PESATU, Haji Hasbie bin Abdullah, dalam ucapan alu-aluannya, menyatakan majlis itu juga diisi dengan acara meraikan warga emas bagi ahli persatuan yang menjangkau umur 60 tahun ke atas yang diselajurkan dengan penyampaian penghargaan kepada Tenaga Pengajar Kelas Bimbingan Muallaf (KBM) dan penyampaian wakaf daripada MBDT kepada PESATU.

Beliau menambah bahawa PESATU telah memulakan acara meraikan warga emas sejak tahun 2008, yang mana jumlah mereka yang telah diraikan hingga tahun 2015 adalah seramai 40 orang. Adapun tujuan utama persatuan itu menyampaikan penghargaan adalah bagi mengenang kembali atas jasa mereka yang berdaftar sebagai ahli PESATU.

Majlis seumpama ini diadakan bagi memeriahkan lagi bulan Syawal, di samping ia juga akan dapat mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan sesama ahli-ahli dan keluarga.

ARTIKEL YANG SAMA