Saudara baru rasai nikmat puasa

Saudara baru rasai nikmat puasa

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jun – Walaupun baru memeluk agama Islam dua hari sebelum Ramadan, Dayang Nur Mariya Arissa binti Muhammad Fadli mampu berpuasa penuh sejak bermulanya Ramadan dan baginya merupakan pengalaman baru yang menyeronokkan.

Dayang Nur Mariya Arissa semasa ditemui selepas menghadiri kelas bimbingan pengenalan Islam di Pusat Dakwah Islamiah baru-baru ini berkata, pengalaman pertama berpuasa ini pastinya tidak dapat dilupakan dan amat indah kerana ia dibuat bersama ahli keluarga yang lain buat pertama kalinya setelah memeluk Islam.

Sejak hari pertama lagi sehingga kini, beliau tidak merasakan kesukaran, mengalami sakit atau pedih perut, malah semuanya berjalan dengan lancar dan menyeronokkan kerana beliau sudah melatih diri berpuasa bersama rakan-rakan yang beragama Islam sebelum memeluk agama Islam.

Manakala Dayang Siti Nor Wardah binti Muhammad Mu’izzuddin, seorang saudara baru yang juga baru merasakan pengalaman berpuasa menjelaskan, walaupun pada peringkat awal ia amat susah tetapi setelah mendapat sokongan dan dorongan dari keluarga, semangatnya untuk berpuasa semakin kuat.

Dayang Maria Yasmeenah dan Dayang Mariam Maisarah semasa menghadiri kelas bimbingan pengenalan Islam.
Dayang Maria Yasmeenah dan Dayang Mariam Maisarah semasa menghadiri kelas bimbingan pengenalan Islam.

Sementara Dayang Maria Yasmeenah binti Abdullah dan Dayang Mariam Maisarah binti Abdullah, masing-masing warga Filipina yang baru menjalani ibadah puasa merasakan ibadah itu benar-benar menguji kekuatan diri.

Bagi Dayang Mariam Maisarah pula, menjalani ibadah puasa ini bukan sesuatu yang asing bagi dirinya kerana beliau pernah merasakan ibadah puasa dan bersahur semasa bekerja dengan majikan yang beragama Islam.

Beliau yang telah bekerja selama enam tahun dengan majikannya menjelaskan, sebelum memeluk Islam, beliau sudah pun mengetahui sedikit sebanyak mengenai ibadah puasa.

ARTIKEL YANG SAMA