Saudara baru terima wang saku

Saudara baru terima wang saku

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Ogos – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam memperkenan kurnia tambang haji kepada tujuh orang saudara bagi menunaikan ibadah haji tahun ini.

Sehubungan itu, Majlis Penyerahan Bayaran Pakej Haji Kepada Darussalam Holdings Sdn Bhd dan Penyampaian Bantuan Wang Saku untuk Saudara-saudara baru berlangsung hari ini di Bangunan Baru Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

Hadir menyampaikan penyerahan bayaran dan penyampaian bantuan wang saku ialah Setiausaha Tetap di KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof. Menurut Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam, Haji Abdul Aziz bin Haji Akop, tahun ini, tujuh orang saudara baru yang layak dan memenuhi syarat-syarat telah disokong untuk menunaikan fardu haji.

“Mereka dikurniakan tambang haji oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia menurut kadar yang diberikan kepada pegawai-pegawai kerajaan iaitu $4,500 setiap seorang. Mereka juga dikurniakan bantuan kewangan selain tambang, sebanyak $7,500 bagi mencukupkan bayaran pakej Haji Darussalam Holdings iaitu Pakej Zamrud yang berharga $12,000 dan bantuan ini dikeluarkan daripada Kumpulan Wang Zakat Asnaf Mualaf,” tambahnya.

Salah seorang saudara baru menerima bantuan wang saku.
Salah seorang saudara baru menerima bantuan wang saku.

Manakala bantuan wang saku diberikan sebanyak $2,000 seorang daripada Kumpulan Wang Zakat Asnaf Mualaf. Pemilihan mereka adalah melalui sesi temu duga dan berdasarkan garis panduan yang disediakan oleh Majlis Ugama Islam Brunei, katanya.

Pada majlis itu, wartawan menemu bual seorang saudara baru, Dayang Nurul Syamimi binti Abdullah Wong yang melahirkan rasa bersyukur ke hadrat Ilahi kerana terpilih menunaikan haji tahun ini. Beliau merafakkan sembah menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia kerana berkenan memberikan sumbangan tambahan untuk pembayaran pakej haji. Menurutnya lagi, kurnia tambang haji ini memberi peluang kepada saudara baru untuk bersama-sama umat Islam lain menunaikan rukun Islam ke-5 itu.

Ia juga menggambarkan betapa tingginya pemedulian Baginda Sultan terhadap saudara-saudara baru di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA