Saudi beri amaran ‘kesan buruk’ bagi undang-undang 9/11 AS

Saudi beri amaran ‘kesan buruk’ bagi undang-undang 9/11 AS

RIYADH, 30 Sept – Arab Saudi semalam memberi amaran tentang ‘kesan yang membawa bencana’ dari undang-undang AS yang membenarkan para mangsa 11 September untuk menyaman negara beraja itu, dalam ketegangan meningkat antara sekutu-sekutu lama tersebut.

Amaran itu dibuat selepas ramai anggota Kongres AS mengundi Rabu lalu untuk menolak veto Presiden Barack Obama terhadap Akta Keadilan Menentang Para Penaja Pengganasan (JASTA), berkenaan hubungan antara kerajaan-kerajaan.

JASTA membenarkan para mangsa serangan dan anggota keluarga mangsa pengganasan untuk meneruskan kes terhadap kerajaan-kerajaan asing di mahkamah persekutuan AS dan menuntut ganti rugi jika kerajaan-kerajaan seumpama itu terbukti bertanggung jawab di atas serangan itu ke atas bumi AS.

Satu sumber kementerian luar Arab Saudi semalam menggesa Kongres AS ‘supaya mengambil langkah perlu untuk menangani kesan berbahaya dan membawa bencana’ dari undang-undang itu.

Jurucakap yang tidak didedahkan identitinya, yang dipetik oleh Agensi Media Saudi sebagai berkata bahawa undang-undang itu adalah “sumber kebimbangan besar”.

Gambar fail 11 September 2001 menunjukkan kepulan asap dari menara berkembar Pusat Dagangan Dunia di New York selepas kapal terbang terhempas pada kedua-dua menara tersebut. - AP
Gambar fail 11 September 2001 menunjukkan kepulan asap dari menara berkembar Pusat Dagangan Dunia di New York selepas kapal terbang terhempas pada kedua-dua menara tersebut. – AP

Undang-undang ini ‘melemahkan kekebalan kerajaan-kerajaan’ dan akan mempunyai impak negatif pada semua negara “termasuklah AS,” kata jurucakap Saudi itu dengan melahirkan harapan bahawa “kebijaksanaan dapat diatasi”.

Dalam bantahan undang-undang itu, Obama berkata ia akan menjejaskan kepentingan AS dengan melemahkan prinsip kekebalan berdaulat, yang membukakan AS kepada tindakan undang-undang persendirian ke atas misi tentera di luar negara.

Penghakisan kekebalan berdaulat juga membimbangkan antara Majlis Kerjasama Teluk enam negara yang mana Arab Saudi adalah anggota paling berpengaruh. Sekutu-sekutu Teluk Arab Saudi bersama-sama Riyadh mengkritik undang-undang itu.

Para penganalisis awal semalam memberi amaran bahawa Arab Saudi boleh mengurangkan keselamatan berharga dan kerjasama perisikan dengan sekutu lama, Washington, selepas Kongres “menikam dari belakang”. Mengurangkan kerjasama seumpama itu adalah antara pilihan yang ada untuk Riyadh, kata penganalisis itu. – AFP