Saudi, Greece tahan tentera Turki

Saudi, Greece tahan tentera Turki

DUBAI/GREECE, 18 Julai – Pihak berkuasa Saudi telah menahan atase tentera Turki ke Kuwait kerana disyaki terlibat dalam rampasan kuasa gagal ke atas pemerintahan Presiden Recep Tayyip Erdogan, lapor media tempatan hari ini.

Atase itu dikenal pasti sebagai Mikail Gullu, ditangkap di lapangan terbang di bandar Dammam timur Saudi ketika dia hendak menaiki sebuah penerbangan ke Jerman, menurut laporan itu lagi.

“Pihak berkuasa Saudi sedang menahan atase tentera bagi kedutaan Turki di Kuwait,” lapor akhbar harian Asharq Al-Awsat milik kerajaan, memetik apa yang digambarkannya sebagai sumber diplomatik asing. “Dia telah dihalang berdasarkan permintaan Turki dan ditahan semasa percubaannya untuk melarikan diri berhubung kemungkinan kaitannya dengan rampasan kuasa itu di Turki,” lapor akhbar berkenaan.

Rangkaian berita Al-Arabiya milik Saudi mengesahkan laporan itu dari ‘sumber Saudi’ menambah bahawa Gullu sedang menuju ke Dusseldorf di Jerman menerusi Amsterdam.

Sementara itu di Alexandroupoli, sebuah mahkamah Greece akan memutuskan pada Khamis akan nasib lapan para pegawai tentera Turki yang melarikan diri menyeberang sempadan menggunakan helikopter selepas kegagalan rampasan kuasa di Turki, menurut sumber badan kehakiman.

Kelapan-lapannya telah didakwa kerana masuk secara haram dan mencabul ruang udara Greece.

Lapan askar berkenaan yang telah memohon perlindungan di Greece, menegaskan mereka tidak terlibat sama dalam pemberontakan itu dan melarikan diri dari Turki untuk menyelamatkan nyawa mereka selepas berdepan dengan tembakan polis.

Lelaki Turki yang akan dibicarakan di Greece itu tiba menggunakan helikopter tentera pada Sabtu selepas menghantar signal kecemasan kepada pihak berkuasa di lapangan terbang di bandar utara Alexandroupolis, 300km dari Istanbul. – AFP