Saudi hukum mati warga Filipina, ke-153 tahun ini

Saudi hukum mati warga Filipina, ke-153 tahun ini

RIYADH, 29 Dis – Arab Saudi hari ini menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang lelaki Filipina yang disabit bersalah kerana membunuh, membawa bilangannya kepada 153 orang yang telah dihukum mati tahun ini dalam kerajaan ultra-konservatif itu.

Joselito Lyda San didapati bersalah membunuh warga Sudan, Saleh Imam Ibrahim dengan tukul berikutan satu pertikaian, menurut kementerian dalam negeri dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita rasmi SPA.

Dia telah dihukum mati di Riyadh hari ini, katanya.

Menurut jumlah AFP, Saudi telah menghukum mati seramai 153 rakyat tempatan dan warga asing tahun ini, berbanding 87 pada tahun 2014.

Amnesty International mengatakan jumlah orang yang dihukum mati di Arab Saudi tahun ini adalah yang tertinggi selama dua dekad, sejak 192 orang dihukum mati pada 1995.

Jumlah itu melebihi 90 orang secara tahunan beberapa tahun kebelakangan, katanya.

Hukuman mati Saudi itu biasanya dilaksanakan dengan pemenggalan kepala menggunakan pedang.

Pakar hak asasi kemanusiaan telah membangkitkan kebimbangan tentang keadilan perbicaraan dalam kerajaan itu, yang mana kementerian dalam negeri mengatakan hukuman mati adalah satu pencegahan daripada melakukan jenayah.

Amnesty mengatakan Arab Saudi mempunyai bilangan hukuman mati ketiga tertinggi di dunia tahun lepas, selepas China dan Iran. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA