Saudi kurangi perbelanjaan, terbit banyak bon

Saudi kurangi perbelanjaan, terbit banyak bon

DUBAI, 7 Sept (AFP) – Arab Saudi akan mengurangkan perbelanjaan dan menerbitkan lebih banyak bon ketika ia berdepan kekurangan belanjawan disebabkan kejatuhan harga minyak, menurut Menteri Kewangan hari ini.

Negara beraja itu – ekonomi terbesar Arab dan pengeksport minyak terbesar di dunia – berdepan situasi kritikal belanjawan yang tidak pernah berlaku sebelum ini selepas harga minyak mentah jatuh lebih separuh dalam tempoh setahun kepada AS$50 setong.

Setakat ini ia bergantung pada simpanan besar fiskal untuk merapat jurang, tetapi Menteri Kewangan, Ibrahim al-Assaf berkata lebih banyak langkah adalah perlu.

“Kami sedang berusaha, untuk mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu,” Assaf memberitahu CNBC Arabia di Washington yang beribu pejabat di Dubai, yang mana beliau mengiringi Raja Salman bagi satu lawatan.

Beliau tidak memberikan butiran tentang skala pengurangan tetapi menegaskan perbelanjaan penting dalam pendidikan dan kesihatan dan infrastruktur tidak akan terjejas.

“Terdapat projek-projek yang telah dibentuk beberapa tahun lalu dan belum bermula lagi. Ini boleh tertangguh,” kata Assaf.

Beliau berkata kerajaan akan mengeluarkan lebih banyak bon perbendaharaan biasa dan bon sukuk Islam untuk “membiayai defisit belanjawan” – yang diramalkan oleh Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) pada AS$130 bilion bagi tahun ini.

Negara tersebut setakat ini telah mengeluarkan bon bernilai “kurang 100 bilion riyal” untuk membantu kekurangan ini, ujarnya, tanpa memberikan angka sebenar.

“Kami berhasratkan menerbitkan lebih banyak bon dan boleh mengeluarkan sukuk bagi beberapa projek sebelum akhir 2015,” kata Assaf lagi.

Arab Saudi meramalkan kekurangan belanjawan rasmi bagi tahun ini AS$39 bilion, tetapi IMF dan institusi lain percaya defisit sebenar akan lebih tinggi lagi.

Dalam bulan Julai lalu IMF meramalkan defisit ialah 20 peratus Penghasilan Kasar Dalam Negeri (GDP), manakala firma Jadwa Pelaburan, Arab Saudi berkata Rabu lalu, ia menjangka kekurangan sekitar AS$109 bilion.

ARTIKEL YANG SAMA