Saudi lumpuhkan jaringan IS

Saudi lumpuhkan jaringan IS

RIYADH, 22 Julai – Arab Saudi kelmarin mengumumkan kejayaan mematahkan jaringan kumpulan sekutu Negara Islam (IS) dengan penahanan lebih 430 individu termasuk mematahkan rancangan serangan baharu ke atas masjid-masjid Syiah di sini.

Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi mengumumkan pihak berkuasa berjaya memusnahkan kumpulan-kumpulan kecil militan yang bersekutu dengan IS sejak beberapa minggu lalu.

“Mereka yang disyaki anggota pertubuhan itu didakwa terlibat dalam rancangan yang dihasilkan di kawasan bergolak di luar negara dengan tujuan menghasut perbalahan antara mazhab dan menimbulkan huru-hara.

“Kumpulan kecil militan itu terlibat dalam beberapa serangan dan rancangan lain termasuk serangan pengebom berani mati di masjid-masjid Syiah di wilayah timur negara ini,” kata kementerian tersebut.

Menurut kementerian itu, 37 orang terbunuh ketika proses penahanan suspek termasuk anggota keselamatan dan orang awam, manakala 120 orang lagi cedera dan enam ‘pengganas’ turut dibunuh dalam operasi tersebut.

Pihak berkuasa Arab Saudi dikatakan telah menggagalkan satu rancangan pengeboman yang dirancang semasa bulan Ramadan termasuk ke atas sebuah masjid yang digunakan anggota-anggota keselamatan di Riyadh dan masjid-masjid Syiah di wilayah timur negara ini.

Kebanyakan daripada 431 orang suspek yang ditahan merupakan rakyat Arab Saudi dan 144 daripadanya dituduh menyokong jaringan IS dengan menyebarkan ideologi songsang di internet serta merekrut anggota baharu. Seramai 97 orang lagi dikaitkan dengan sebuah kumpulan kecil yang diserbu sebelum ini, manakala 190 suspek terlibat dalam rancangan pengeboman masjid-masjid Syiah susulan beberapa serangan terdahulu di bandar Qatif dan Dammam. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA