Saudi pintas peluru berpandu dari Yaman

Saudi pintas peluru berpandu dari Yaman

RIYADH, 27 Dis – Arab Saudi memintas peluru berpandu yang ditembakkan ke arah wilayahnya dari bandar Yaman yang ditawan pemberontak, umum pasukan gabungan diketuai Saudi hari ini, dalam serangan rentas-sempadan terbaru ke atas kerajaan itu.

Pasukan pertahanan udara Saudi memintas ‘peluru berpandu Scud yang dilepaskan dari Sanaa di Yaman ke arah bandar Najran,” lewat kelmarin, kata pasukan gabungan yang menentang pemberontak di Yaman sejak Mac.

Jet pasukan gabungan ‘dengan segera memusnahkan pad pelancar peluru berpandu selepas mengenal pasti lokasinya di Yaman,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita rasmi Arab Saudi, SPA.

Pemberontak Yaman yang disokong Iran memperhebatkan serangan roket mereka di seluruh sempadan Saudi beberapa minggu kebelakangan, mencetuskan pasukan gabungan mengancam serangan balas yang keras ke atas mereka.

Saudi telah menghantar rentetan peluru berpandu Patriot yang direka untuk menangkis peluru berpandu balistik taktikal.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam laman web sabanews.net, pemberontak mengatakan mereka melepaskan tembakan roket di Jizan dan Najran di sebelah sempadan Saudi, kelmarin, mengakibatkan ‘kehilangan nyawa dan peralatan’. – AFP