Saudi, Rusia setujui had pengeluaran minyak

Saudi, Rusia setujui had pengeluaran minyak

DOHA, 16 Feb – Pengeksport minyak terbesar dunia, termasuk Rusia dan Arab Saudi, hari ini bersetuju untuk mengehadkan pengeluaran petroleum bagi menangani masalah lambakan simpanan global.

Bagaimanapun, persetujuannya bergantung kepada pengeluar lain, dengan Iran tidak hadir dalam mesyuarat yang diadakan sebentar tadi, malah merancang untuk menambah jumlah eksportnya.

Menteri Minyak dari Arab Saudi, Rusia, Qatar dan Venezuela, melawat Doha, pagi tadi untuk mengadakan mesyuarat tertutup, iaitu rundingan peringkat tertinggi tindakan bersama untuk membantu harga minyak pulih daripada paras terendah dalam tempoh lebih sedekad.

Menteri Minyak Arab Saudi, Ali al-Naimi, berkata membekukan pengeluaran pada paras bulan Januari adalah satu langkah mencukupi dan tindakan baharu bagi menstabilkan pasaran akan dipertimbangkan dalam beberapa bulan lagi.

Beliau berharap pengeluar lain akan melaksanakan cadangan itu, manakala Menteri Minyak Venezuela, Eulogio Del Pino, berkata rundingan berikutnya akan diadakan esok bersama Iran dan Iraq.

Para perwakilan negara yang terlibat ketika sesi sidang media dijalankan. – AFP
Para perwakilan negara yang terlibat ketika sesi sidang media dijalankan. – AFP

Mesyuarat itu diadakan selepas harga minyak turun lebih daripada 18 bulan, ke apras bawah AS$30 setong buat pertama kali dalam lebih satu dekad.

Kejatuhan itu lebih lama dan lebih rendah daripada yang diramal, dan pendirian pengeluar kini mungkin telah berubah daripada tekad mempertahan bahagian pasaran masing-masing dan bukan harga.

Harga minyak meningkat kepada AS$35.55 satu tong, namun susut sedikit untuk diniagakan di bawah AS$34 satu tong apabila jangkaan persetujuan segera dapat dicapai semakin mengecil. – Reuters