Saudi tangkis serangan peluru berpandu

Saudi tangkis serangan peluru berpandu

RIYADH, 31 Mei – Arab Saudi menangkis peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari Yaman semalam, menurut pakatan tentera yang menyokong kerajaan Yaman.

Ia adalah peluru berpandu kedua yang dilancarkan dari Yaman sejak rundingan-rundingan damai yang dibroker PBB bermula di Kuwait pada 21 April di antara pihak pemberontak Huthi Syiah dan kerajaan Presiden Abedrabbo Mansour Hadi.

Pakatan yang diketuai Arab Saudi itu pada Mac tahun lepas memulakan serangan-serangan udara dan bantuan ketenteraan yang lain dalam menyokong tentera Yaman menentang pihak Huthi yang telah menawan sebahagian besar negara itu dan disokong oleh pesaing serantau Arab Saudi iaitu Iran.

Pertempuran tetap berterusan meskipun satu gencatan senjata membuka jalan bagi rundingan itu di Kuwait.

Para pemberontak Huthi bersekutu dengan tentera-tentera elit yang setia terhadap bekas presiden Yaman Ali Abdullah Salleh.

Pelancaran-pelancaran peluru berpandu itu bertujuan untuk “mensabotaj usaha-usaha komuniti antarabangsa untuk menjadikan rundingan-rundingan damai berjaya,” menurut pakatan Arab Saudi dalam satu keterangan.

Arab Saudi telah mengerahkan bateri-bateri peluru berpandu Patriot untuk menangkis peluru-peluru berpandu taktikal balistik yang telah sering dilancarkan ketika peperangan itu.

Pakatan itu memberikan amaran ia akan bertindak balas jika serangan sebegitu berterusan. – AFP