Savilla FC belasah TelBru FT 7-2

Savilla FC belasah TelBru FT 7-2

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jan – Perebutan kedudukan naib juara Kumpulan B, Liga Bolasepak Daerah Brunei dan Muara 2015 masih terbuka luas apabila Savilla FC mencatat kemenangan besar 7-2 ke atas TelBru FT kelmarin.

Saifuny bin Haji Sawal muncul wira Savilla FC dengan catatan lima gol peribadi sekalipun dia gagal menyempurnakan satu sepakan penalti pada ketika Savilla FC mendahului 5-2.

Persaingan perlawanan di Padang & Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah (KSNHB) itu pada awalnya berlangsung agak sengit dengan kedudukan sudah terikat 1-1 ketika perlawanan baru berlangsung empat minit.

TelBru FT membuka tirai jaringan seawal minit ke-2 hasil sumbangan Mohd Boolkie Didi bin Ahdi namun Saifuny membuka akaun jaringannya dua minit kemudian untuk menyamakan kedudukan.

Pada minit ke-16, TelBru FT sekali lagi di depan, kini dengan jaringan 2-1, juga menerusi sumbangan Mohd Boolkie Didi tetapi pendahuluan itu juga tidak kekal lama apabila berjaya disamakan oleh Mohd Syuif bin Joinidi selang tiga minit kemudian untuk mengikat kedudukan pada 2-2.

Saifuny (kanan) membantu Savilla FC membelasah TelBru FT 7-2 dengan ledakan lima gol peribadi.
Saifuny (kanan) membantu Savilla FC membelasah TelBru FT 7-2 dengan ledakan lima gol peribadi.

Arus perlawanan beralih hala pada minit ke-21, hanya dua minit selepas gol penyamaan itu apabila Saifuny mendapat gol kedua peribadinya untuk membawa Savilla FC di depan buat pertama kalinya dalam perlawanan itu dengan jaringan 3-2.

Saifuny memastikan Savilla FC mendahului 4-2 sehingga rehat selepas berjaya meledakkan hatriknya pada minit ke-31.

Savilla FC meneruskan momentum positifnya pada separuh masa kedua namun gol kelimanya hanya hadir pada minit ke-61 yang dijaringkan oleh Mohd Syuif.

Saifuny berpeluang menjadikan kedudukan 6-2 beberapa minit kemudian menerusi sepakan penalti selepas Mohd Syuif dijatuhkan di dalam petak oleh penjaga gawang TelBru FT tetapi Saifuny gagal apabila sepakannya tersasar keluar ke kanan gawang TelBru FT.

Walau bagaimanapun Saifuny menebus kegagalannya itu apabila berjaya menjaringkan gol pada minit ke-81 dengan hanya melambungkan bola melepasi jangkauan penjaga gol TelBru FT yang berlari keluar dari petaknya dalam cubaan menutup sudut gawangnya.

Dua minit selepas itu Saifuny sekali lagi berada dalam situasi satu lawan satu dengan penjaga gol TelBru FT dan berjaya menyumbatkan gol kelima peribadinya untuk gol ketujuh dan terakhir Savilla FC.

Kemenangan itu membolehkan Savilla FC memintas Rainbow FC (empat mata dari empat perlawanan) di tempat ketiga sekali gus membawa Savilla FC hanya tiga mata di belakang naib juara Kumpulan B ketika ini, Seri Bolkiah, yang sudah menamatkan peringkat kumpulannya dengan mengumpul 10 mata, 14 jaringan, 12 bolos dan +2 perbezaan gol.

Savilla FC yang masih memiliki baki satu perlawanan kini mengumpul tujuh mata, 11 jaringan, sembilan bolos dan +2 perbezaan gol.

Maka Savilla FC kini hanya perlu memenangi perlawanan terakhirnya menentang Rainbow FC untuk memintas Seri Bolkiah dan mara ke pusingan kedua walau sekadar menang tipis 1-0, 2-1, 3-2 dan seterusnya untuk mencatat sekurang-kurangnya +3 perbezaan gol.

ARTIKEL YANG SAMA