Savilla FC gigit jari

Savilla FC gigit jari

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Jan – Savilla FC gigit jari apabila jaringan penyamaan pemain Rainbow FC, Mohd Shahyani Irsyam bin Yahya pada minit ke-86 meranapkan impiannya untuk mara ke pusingan kedua Liga Bolasepak Daerah Brunei & Muara 2015.

Savilla FC dalam laluan untuk layak selaku naib juara Kumpulan B apabila jaringan penalti Hafiz bin Zaitin pada minit ke-76 membawa Savilla FC mendahului Rainbow FC 2-1 dalam perlawanan kedua-dua pasukan petang kelmarin.

Pada perlawanan di Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah itu, Rainbow FC yang membuka tirai jaringan menerusi Azhar Sabre bin Haji Rahim pada minit ke-10.

Namun wira Savilla FC dalam kemenangan 7-2 ke atas TelBru FT pada 10 Januari lalu dengan ledakan lima gol peribadi iaitu Saifuny bin Haji Sawal berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-21, dan kedudukan 1-1 itu kekal sehingga rehat.

Dengan keputusan seri itu, Savilla FC kekal di tangga ketiga dengan 8 mata, dua mata di belakang naib juara kumpulan, Seri Bolkiah. Sementara Rainbow FC turut kekal di tangga keempat dengan 5 mata. Untuk mara ke pusingan kedua, Savilla FC hanya perlu memenangi perlawanan itu dengan apa juga jumlah jaringan kerana kemenangan akan menyamakan kutipan matanya dengan Seri Bolkiah, 10 mata, tetapi Savilla FC yang akan mara dengan kelebihan perbezaan gol.

Savilla FC (putih) dan Rainbow FC (hitam) sekadar seri 2-2 dalam aksi terakhir mereka di peringkat kumpulan.
Savilla FC (putih) dan Rainbow FC (hitam) sekadar seri 2-2 dalam aksi terakhir mereka di peringkat kumpulan.

Dengan muktamadnya keputusan 2-2 itu, pada pusingan kedua nanti Kumpulan B akan diwakili Al-Idrus Junior selaku juara kumpulan dengan kutipan 15 mata maksimum, dan Seri Bolkiah selaku naib juara kumpulan.

ARTIKEL YANG SAMA